Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Tanpa ada satu strategi jelas untuk pasaran SUV untuk sekian lama, Toyota kini mempunyai barisan model yang agak menarik untuk pasaran Malaysia, meliputi pelbagai saiz dan tanda harga. Bermula dari crossover dengan harga yang relatif mampu milik hinggalah kepada 4×4 body-on-frame yang lasak, serta beberapa penawaran yang lebih premium, Toyota ada sesuatu untuk sebahagian besar pengguna.

Dengan jumlah model baru yang semakin banyak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, barisan SUV Toyota boleh jadi sedikit mengelirukan untuk difahami. Untuk itu, kami sediakan garis panduan ringkas ini untuk memudahkan anda memahami corak penawaran bagi setiap satu model SUV Toyota yang ada dalam pasaran. Untuk membantu anda membuat keputusan pembelian yang lebih tepat, kami juga akan menyertakan sekali model-model pesaing utama yang ada.

Toyota Rush

Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Merupakan model SUV paling mampu milik daripada Toyota. Juga merupakan sebuah SUV tujuh-tempat duduk yang mengutamakan fungsi dan penggunaannya, dan memanfaatkan binaan casis ladder frame. Menjadi antara model utama untuk barisan kenderaan Toyota jenis ini, Rush menjadi pilihan yang agak popular beberapa tahun ini, terutamanya bagi kalangan pengguna yang hanya inginkan sebuah kenderaan keluarga yang boleh diharap dan prihatin terhadap bajet dan kewangan mereka.

Diperkenalkan pada tahun 2018, model terkininya menampilkan rekaan lebih menawan, bahagian dalaman lebih kontemporari serta beberapa ciri baru untuk kemudahan seperti sistem tanpa kunci dan kawalan pendingin automatik berbanding model lama. Ia juga dikuasakan oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE NA Dual VVT-i, menghasilkan 105 PS dan 136 Nm tork. Pacuan dihantar ke roda belakang melalui transmisi empat-kelajuan automatik. Baru untuk tahun 2021 ialah warna Red Metallic, yang menggantikan warna Dark Green Metallic sebelum ini.

Mungkin peningkatan yang paling perlu diperhatikan ialah aspek keselamatan. Semua model datang dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, dan peninjau titik buta, dengan varian 1.5G yang lebih mahal juga dilengkapi dengan brek kecemasan automatik dan Kawalan Salah Operasi Pedal. Semua ciri ini menyumbang kepada rating keselamatan ASEAN NCAP lima-bintang bagi Rush.

Dijual pada harga antara RM88,314 dan RM91,885 atas jalan tanpa insurans, Rush berada pada lingkungan harga yang lebih murah berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, kedudukannya dalam pasaran sedikit terganggu oleh kembarnya, Perodua Aruz, yang dijual pada harga RM20,000 lebih murah. Sebab itu Rush agak jarang dilihat di atas jalan raya di sini, tetapi diterima dengan lebih baik di Malaysia Timur di mana jenama Toyota mempunyai imej yang lebih dipercayai.

Selain Aruz, Honda BR-V menjadi pesaing lain bagi Rush, walaupun model itu menggunakan binaan platform monocoque dengan karektor lebih cenderung kepada kereta; ia juga tidak datang dengan senarai kelengkapan keselamatan yang banyak seperti ditawarkan Toyota. Bagi pesaing tidak langsung dengan lima-tempat duduk pula, Proton X50 menawarkan tahap teknologi, prestasi dan kecanggihan yang lebih baik berbanding Rush, sementara Perodua Ativa menyediakan pilihan yang lebih murah untuk sesebuah SUV bagi mereka yang tidak memerlukan tiga barisan tempat duduk.

Toyota Corolla Cross

Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Antara model yang dinantikan ialah Corolla Cross, tiba di pasaran tempatan awal tahun ini dan akhirnya meletakkan Toyota di tengah segmen utama pasaran SUV. Dengan harga yang kompetitif, dari RM124,000 hingga RM129,266, model ini berada di posisi atas segmen B walaupun saiznya lebih besar; ini pula belum lagi melibatkan pengenalan model CKD tempatan, yang akan menjadikan harganya lebih rendah. Hal itu telah menarik perhatian pembeli, walaupun dengan model CBU sepenuhnya telah habis dijual, dan Toyota juga mula mengambil tempahan untuk versi CKD.

Walaupun menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Corolla Cross adalah lebih murah untuk dibangunkan berbanding model yang digantikannya, C-HR yang lebih kecil dan mahal. Ini kerana ia menggunakan sistem gantungan jenis torsion beam di belakang berbanding jenis double wishbones pada C-HR, membolehkannya dijual pada harga RM20,000 lebih rendah.

Walaupun ia mengunakan nama Corolla, rekaan besar pada model ini dengan gril yang luas menunjukkannya lebih mirip RAV4, yang akan kita tinjau juga selepas ini. Namun, papan pemuka ruang dalamannya kekal sama seperti yang ada pada model sedan berkenaan. Kedua-dua varian 1.8G dan 1.8V menerima kemasan balutan kulit, kerusi pemandu berkuasa dan skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, walaupun cuma varian V yang menerima lampu depan dan belakang LED serta rim aloi dua-tona 18-inci. Ia juga satu-satunya yang datang dengan Toyota Safety Sense lengkap, termasuk kawalan melayar adaptif dan bantuan membetulkan lorong.

Unit janaan kuasanya sama dengan Corolla sedan — 2ZR-FE 1.8 liter NA Dual VVT-i yang menghasilkan 139 PS dan 172 Nm ke roda depan melalui CVT. Varian hibridnya juga dijangka diperkenalkan dalam bentuk CKD, yang menggabungkan enjin Atkison Cycle 98 PS/142 Nm dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm untuk memberikan output sistm 122 PS.

Pesaing paling rapat Corolla Cross ialah Honda HR-V, yang dijual pada harga lebih rendah dan juga saiznya lebih kecil, serta kurang ciri keselamatan dan sudah tiba masa untuk model gantiannya. Mazda CX-3 dan Hyundai Kona pula berada dalam kelompok harga yang sama, tetapi dalam saiz yang lebih kecil. Sementera Mazda CX-30 pula sedikit lebih mahal. Model Toyota yang ini juga boleh dijadikan sebagai alternatif kepada model SUV segmen C seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Toyota Fortuner

Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Jika anda inginkan sebuah SUV 4×4 yang menggunakan asas dari trak pikap, Fortuner untuk sekian lama menjadi pilihan yang paling popular dan selamat. Apalagi ia menggunakan asas dari sebuah model trak pikap Hilux yang memang sudah terbukti kemampuan serta ketahanannya. Berada dalam pasaran sejak 2016, model dari generasi kedua ini telah diberikan facelift untuk pertengahan kitaran hayatnya, lengkap dengan ciri keselamatan baru.

Selain kemaskini estetika, Fortuner juga menerima ciri bantuan Toyota Safety Sense, termasuk brek kecemasan autonomous dan kawalan melayar adaptif. Ini menjadikan Fortuner satu-satu model dalam segmennya yang datang dengan teknologi berkenaan, sebagai tambahan kepada ciri standard lain seperti tujuh beg udara dan kawalan kestabilan.

Bahkan, oleh kerana Isuzu MU-X kini tidak lagi diteruskan jualannya di sini, Fortuner menjadi satu-satunya model dalam segmen berkenaan. Walaupun ada sebuah lagi model paling hampir, iaitu Ford Everest yang kini ditawarkan dengan hanya satu pilihan enjin, 2.0 liter twin-turbo, tetapi model ini berada dalam harga yang berbeza, dengan beza sekitar RM100,000.

Berbeza dengan Fortuner, yang bermula pada harga RM172,244 bagi model 2.7 SRZ petrol dan naik sehingga RM203,183 bagi model 2.8 VRZ diesel dengan wajah baru yang lebih agresif dan kelengkapan tambahan. Ada juga model 2.4 liter diesel yang dijual pada harga RM167,357, tapi itu hanya untuk pasaran di Malaysia Timur dan telah habis dijual.

Pilihan enjin yang ditawarkan termasuk 2TR-FE 2.7 liter menghasilkan 166 PS dan 245 Nm dan 2GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang menjana sebanyak 204 PS dan 500 Nm. 1GD-FTV 2.4 liter untuk pasaran Sabah dan Sarawak pula hadir dengan janaan 150 PS dan 400 Nm. Semua unit enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Toyota RAV4

Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Selain untuk satu tempoh pendek sekitar tahun 2000an, Toyota tidak lagi menawarkan RAV4 untuk pasaran tempatan secara rasmi, walaupun pesaing rapatnya seperti CR-V mendominasi pasaran untuk beberapa dekad lamanya. Kini, ia kembali ditawarkan sebagai salah satu model dalam barisan utama Toyota di sini, kita boleh faham kenapa perkara itu berlaku; ketiadaan model CKD serta penggunaan platform canggih TNGA telah menyebabkan tanda harganya berada di luar segmen yang diwakilinya itu.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, model generasi kelima ini dijual pada harga RM215,665 bagi varian 2.5 liter, dengan versi 2.0 liter telah pun dihentikan penawarannya. Ini meletakkan harga SUV berkenaan sebaris dengan penawaran dari jenama premium Jerman, misalnya terhadap dua model BMW X1.

Jadi, untuk mengimbangi tanda harga yang tinggi itu, RAV4 didatangkan dengan kelengkapan yang pelbagai, termasuk lampu utama dan belakang LED, rim 18-inci, kawalan pendingin dua-zon, kerusi kulit larasan elektrik, pintu ruang barangan berkuasa, kamera 360-darjah dan skrin sentuh infotainmen tujuh-inci.

Ciri terakhir ini dihubungkan kepada sistem OEM yang tidak terdapat pada model-model Toyota yang lain di Malaysia (selain Camry dan Harrier) — tidak juga pada model yang lebih mahal seperti GR Yaris. Pakej lengkap Toyota Safety Sense juga disertakan, menjadikannya penawaran dari aspek berkenaan padanya menyamai dengan model-model lain seperti Lexus UX dan Volvo XC40.

Ketika ini hanya ada satu pilihan penawaran saja disediakan, iaitu versi A25A-FKS 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder suntikan terus. Tidak seperti model turbocas premium dalam julat harga yang sama, RAV4 bagaimanapun menggunakan enjin NA; maksudnya, walaupun angkaa janaan agak kompetitif dengan 207 PS dan 243 Nm, itu bermaksud enjinnya perlu bekerja lebih keras. Transmisi yang digunakan pula ialah automatik lapan-kelajuan dan bukannya CVT seperti pada model asas 2.0 liter yang tidak lagi ditawarkan.

Toyota Harrier

Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

Ini model yang paling merangkum imej dan penawarannya dalam barisan SUV Toyota. Harrier sangat popular dan kerap dibawa masuk oleh pengimport persendirian dan dalam generasi ketiganya, yang masuk ke pasaran tempatan melalui saluran rasmi pada tahun 2017, telah mencipta pasaran dan peminat yang tersendiri.

Dilancarkan pada April, model terbaru generasi keempat ini dijual pada harga yang sedikit lebih rendah berbanding varian Luxury model sebelumnya, iaitu pada harga RM249,707. Berbanding model-model premium lain seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC, Toyota Harrier memberikan nilai yang agak baik juga, tetapi tidak semua menyebelahinya.

Ini kerana enjin turbo Harrrier yang sebelum ini telah digugurkan. Bahkan, Harrier juga kurang berkuasa berbanding RAV4 yang lebih murah, menggunakan unit M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force yang menghasilkan 173 PS dan 203 Nm dengan CVT. Mungkin hal yang agak menyebelahi Harrier berbanding RAV4 adalah ia lengkap dengan ciri canggih termasuk lampu utama LED matrix, pengecas tanpa wayar Qi, head-up display dan bumbung kaca elektrochromik.

Toyota Rush 1.5S

Toyota Corolla Cross 1.8V

Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021

Toyota RAV4 2020 2.5L

Toyota Harrier 2.0 Luxury

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required