Ketika dilancarkan pada Mac lalu, model asas Toyota Corolla Cross 1.8G dijual pada harga RM124,000, manakala varian tertinggi 1.8V pula diumumkan dengan harga RM134,000. Harga untuk model 1.8G berkenaan adalah dengan potongan cukai SST, manakala harga RM134k untuk 1.8V pula adalah dengan cukai penuh SST.
Ini kerana Corolla Cross 1.8V dijangka hanya akan tiba di Malaysia dan dihantar kepada pelanggan pada separa kedua 2021, ketika itu insentif potongan cukai yang diberikan oleh kerajaan sepatutnya berakhir pada 30 Jun. Namun dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri tempoh hari bahawa insentif berkenaan akan diteruskan sehingga 31 Disember, ini bermaksud Corolla Cross 1.8V perlu diberikan harga baharu.
Oleh itu, dengan potongan cukai SST 50% untuk model CBU yang diimport sepenuhnya dari Thailand ini, Toyota Cross 1.8V diumumkan dijual di Malaysia pada harga RM129,266, atau RM4,734 lebih murah. Manakala model 1.8G pula kekal dijual pada harga RM124,000.
Dalam insentif yang diumumkan kerajaan berkenaan, model-model pemasangan tempatan (CKD) diberikan potongan cukai SST lebih tinggi iaitu sebanyak 100%. Menurut rancangan yang telahpun didedahkan oleh UMW Toyota sebelum ini, buat pertama kali kilang mereka yang terletak di Bukit Raja bakal memasang model yang diasaskan dari platform TNGA, iaitu Toyota Corolla Cross pada tahun ini juga.
Toyota Corolla Cross merupakan SUV segmen-B dengan saiz sedikit lebih besar yang berhadapan terus dengan Honda HR-V dan juga Proton X50. Ia dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-1 berkuasa 139 PS dan tork maksima 172 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan kelajuan 7-kelajuan maya dengan mod Sequential Shifmatic, dan kuasa hanya dihantar ke roda hadapan.
Bagi model asas 1.8G, ia hadir dengan kelengkapan seperti lampu hadapan projektor halogen, rim 17-inci, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem amaran tekanan angin tayar, tujuh beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera 360-darjah, kamera perakam digital (dashcam) dan juga pintu tailgate belakang berkuasa bersama penderia kaki.
Manakala untuk model 1.8V pula, ia ditambah dengan pelbagai kelengkapan lebih baik seperti lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED, rim aloi 18-inci dua tona bersama tayar Michelin Primacy 4, lampu belakang LED dan juga cermin akustik.
Model tertinggi ini juga diberikan pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dengan bantuan stereng, bantuan mengesan lorong, sistem cruise control adaptif (berfungsi pada kelajuan 30 km/j ke atas) dan juga lampu tinggi automatik.
Toyota Corolla Cross 1.8V
Toyota Corolla Cross 1.8G