Dalam pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan pelan bantuan dan sokongan ekonomi sempena Perintah Larangan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat dari 1 hingga 14 Jun 2021, beberapa bantuan melibatkan automotif turut tersenarai.
Antaranya ialah kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai SST bagi kenderaan CKD (100%) dan CBU (50%) bagi kenderaan penumpang sehingga 31 Disember 2021. Sebelum ini, perkara yang mula diumumkan di bawah inisiatif PENJANA ini sudah pernah dilanjutkan sekali, dan sepatutnya berakhir pada 30 Jun 2021. Perkembangan terbaru ini melibatkan lanjutan enam bulan lagi sebagai langkah menyokong kelangsungan perniagaan dalam tempoh PKP 3.0 kali ini.
Seterusnya adalah berkaitan moratorium (penangguhan bayaran balik) pinjaman bank. Memetik kenyataan ucapan yang disampaikan oleh Muhyiddin, pihak bank memberi komitmen penuh untuk terus menyediakan bantuan moratorium tersebut.
“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan,” jelas kenyataan yang disampaikan.
Inisiatif ini katanya akan dimulakan segera pada bulan Jun ini dan dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga 30 bilion ringgit. Bank akan memberi maklumat terperinci berkaitan perkara ini esok.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.