Toyota Harrier 2021 baru sahaja dilancarkan semalam, dan kita cuma dapat melihat beberapa sahaja contoh gambar model popular ini. Sekarang, kami sudah mempunyai galeri lengkap satu-satunya varian 2.0 Luxury berharga RM249,707 yang diperkenalkan untuk Harrier di Malaysia ini, khas untuk tatapan anda.

Model generasi keempat ini dikuasakan oleh enjin empat silinder Dynamic Force 2.0 liter NA, dengan kemampuan 173 PS pada 6,600 rpm dan 203 Nm tork pada 4,400 hingga 4,900 rpm. Jumlah kuasa ini adalah lebih rendah berbanding enjin turbo yang diguna pada Harrier sebelum ini, dan dipadankan bersama transmisi Direct Shift CVT untuk menghantar kuasa tersebut kepada roda hadapan.

Dibina atas platform GA-K TNGA, Harrier baru sedikit lebih besar dan rendah berbanding model sebelumnya, sementara rekaannya menerapkan konsep Dignified Elegance. Melengkapi bahagian luarnya adalah lampu utama Bi-LED Projector automatik, DRL LED, gril hadapan tertutup serta lampu belakang LED yang bersambung dari kiri hingga kanan.

Di bahagian dalam, tempat duduknya dibalut dengan kulit kombinasi warna hitam, dengan pelarasan kuasa 12 arah berserta memori diberikan pada bahagian pemandu dan larasan kuasa empat arah untuk penumpang hadapan. Pada papan pemuka, walaupun tidak mendapat unit skrin sesentuh 12.3 inci seperti Jepun, model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan skrin sesentuh lapan inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Turut diberikan adalah head-up display, pengecas Qi tanpa wayar, kamera undur, enam pembesar suara, panel instrumen TFT berwarna tujuh inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin serta pendingin hawa automatik dua zon. Di atas bumbung terdapat kaca panoramik luas tetapi tidak boleh dibuka.

Kelengkapan lain yang diberikan terus adalah lampu kabus LED, rim 18 inci, roda stereng balutan kulit yang boleh dilaras secara elektronik, tempat duduk boleh sandar dan lipat 60:40, sistem telematik kenderaan, penapis haba cermin premium, kamera hadapan dan belakang serta pintu but bukaan tanpa sentuh.

Pada bahagian keselamatan, Harrier 2021 dilengkapi pakej penuh Toyota Safety Sense, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan fungsi gerak dan henti, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dengan amarak trafik dari belakang serta lampu tinggi adaptif. Tujuh beg udara, Stability Control dan cangkuk ISOFIX juga diberikan secara standard.