Walaupun belum lagi didedahkan sepenuhnya, model generasi baharu Honda Civic Type R telahpun memecahkan catatan rekod terpantas di Litar Suzuka untuk kereta pacuan hadapan, yang sebelum ini dipegang oleh Civic Type R generasi FK8 sedia ada!
Menurut Honda, unit prototaip Civic Type R 2023 berkenaan telahpun mencatatkan rekod 2 minit 23.120 saat pada laluan 5.8 km litar tersebut. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan! – pada tahun 2020.
Video yang disiarkan ketika rekod tersebut dibuat turut disertakan dengan beberapa data telemetri seperti bacaan daya-G dan juga kelajuan. Namun sudut kamera yang diletak pada kabin kereta berkenaan masih menyorokkan lagi perincian-perincian dalaman model generasi baharu ini.
Model ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Honda telah pun mendedahkan versi prototaip Civic Type R 2023 ini tahun lalu serta membuat penampilan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, tetapi dengan keadaan masih dibalut dengan pelekat penyamaran.
Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.
Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.
Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.
Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual, malah video catatan rekod ini turut menunjukkan pemandunya sentiasa sibuk untuk menukar gear sendiri. Menurut Honda, Civic Type R 2023 ini akan didedahkan sepenuhnya pada musim panas ini di Amerika Syarikat, iaitu antara Jun hingga Ogos nanti.
GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.