Honda Civic Type R 2023 – ujian kini giat dibuat di Suzuka, bakal didedahkan sepenuhnya tahun depan

Honda Civic Type R 2023 – ujian kini giat dibuat di Suzuka, bakal didedahkan sepenuhnya tahun depan

Oktober lalu Honda sudah pun menyiarkan teaser untuk Honda Civic Type R 2023 yang menayangkan bahagian luar hot-hatch berkenaan, tetapi masih dibalut dengan pelekat penyamaran. Sekali lagi unit berkenaan didedahkan, tetapi kini dalam keadaan lebih aksi – Honda menyiarkan satu set imej memaparkan unit prototaip tersebut diuji di Litar Suzuka, Jepun.

Unit yang diuji kali ini kelihatan seiras dengan unit dalam imej teaser tempoh hari. Ada kelibat Civic Type R FK8 dalam foto tersebut yang mungkin dijadikan sebagai kayu ukur. Juga, sosok Pembantu Besar Ketua Projek Civic Type R, Hideki Kakinuma juga kelihatan dalam ujian berkenaan.

Honda Civic Type R 2023 ini diasaskan dari Honda Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback, dan diberikan perincian luaran yang lebih garang tetapi masih menampilkan lampu hadapan dan belakang yang sama.

Hampir keseluruhan badannya diselindung dengan pelekat – nampak macam grafik penyaraman biasa, tetapi ia sebenarnya gandingan dari latar belakang berwarna hitam, logo ‘R’ berwarna merah dan juga illustrasi bayangan badan model-model Civic Type R sebelum ini termasuk versi pertama EK9, EP3, FD2, FN2, FK2 dan FK8.

Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.

Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.

Lagi sekali, masih tiada sebarang imej untuk kabin Type R generasi baharu ini. Walau bagaimanapun, menerusi gambar ‘sipi-sipi’ yang diberikan ini, dapat disahkan ia masih menerima tempat duduk bucket berwarna merah. Boleh dijangka, ia masih mengekalkan papan pemuka Civic standard bersama perincian ikonik Type R lain seperti tombol gear titanium dan perincian-perincian merah lain.

Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.

Kereta ini bakal didedahkan sepenuhnya pada tahun hadapan, jadi tak mustahil pelbagai teaser lain akan disiarkan selepas ini sebelum ia muncul secara rasmi. Tapi setakat ni anda rasa macam mana? Adakah Civic Type R yang nampak lebih matang ini lebih menarik dari Civic Type R FK8 dengan rupa macam robot Gundam sebelum ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required