Honda Civic Type R 2023 – teaser rasmi didedahkan!

Honda Civic Type R 2023 – teaser rasmi didedahkan!

Selepas model sedan dan hatchback bagi Honda Civic generasi ke-11 didedahkan, ini dia model yang paling ditunggu-tunggu – varian paling berkuasa Civic Type R generasi baharu akan muncul tak lama lagi! Honda secara rasmi menyiarkan imej model berkenaan yang dibalut dengan pelekat penyamaran berwarna merah-hitam sebagai teaser sebelum kemunculan sulungnya nanti.

Apa yang menarik, jika anda perhatikan betul-betul, pelekat penyamaran tersebut turut menampilkan illustrasi bayangan badan model-model Civic Type R sebelum ini termasuk versi pertama EK9, FD2, FN2 dan FK8 sebelum ini. Malah warna merah yang dilihat pada pelekat berkenaan sebenarnya terbentuk dari huruf ‘R’.

Seperti yang dijangka, ia diasaskan dari Civic Hatchback dengan menampilkan lampu hadapan dan belakang yang sama. Walaupun hampir keseluruhan badannya diselindung dengan pelekat, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah. Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang.

Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya. Honda masih belum menyiarkan sebarang imej kabin untuk Type R generasi baharu ini, namun boleh dijangka ia masih mengekalkan papan pemuka Civic standard bersama perincian ikonik Type R seperti tempat duduk bucket, tombol gear titanium dan perincian-perincian merah lain.

Honda Civic Type R 2023 – teaser rasmi didedahkan!

Juga tiada sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal diumumkan. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan untuk memacu roda hadapan.

Ada juga khabar angin menyatakan bahawa model generasi baharu ini akan menampilkan sistem hibrid dengan pemadanan motor elektrik yang menjadikan ia sebagai model pacuan semua roda. Tetapi menurut laporan dari Autocar Januari lalu, model ini akan kekal sebagai jentera sport mekanikal asli dari Honda tanpa sebarang bantuan teknologi elektrifikasi, sebelum peralihan era tidak lama lagi.

Selepas kilang Honda Swindon di UK tutup, produksi Honda Civic Type R ini akan berpindah ke Amerika Utara buat pertama kali, dijangka akan dibuat di kilang Greensburg, Indiana kerana fasiliti tersebut turut akan memasang Civic Hatchback standard.

Honda Civic generasi ke-11 mungkin dilihat lebih ‘matang’ dari rupa seakan robot Gundam pada model generasi sebelumnya. Namun bila sudah dijelmakan dalam versi Type R ini nampaknya boleh tahan garang juga kan? Tapi anda rasa macam mana? masih tak boleh move on dengan konsep rekaan FK8?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required