Minggu lalu kecoh apabila video tular Suzuki Raider R150 Fi yang diuji atas mesin dyno sehingga mencatat kelajuan 177 km/j mendapat perhatian ketua polis negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang menyatakan rasa bimbang dan mengeluarkan saranan supaya penjualannya diharamkan.

“Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit. Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya)” kata Acryl Sani kepada portal berita FMT.

Sekarang, presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula muncul untuk memberi pandangan tentang isu ini, dengan mengatakan ia tidak sepatutnya diharamkan terus. Bekas timbalan perdana menteri ini turut berkongsikan beberapa perkara sebagai sokongan dan dikongsikan di laman media sosial.

“Tanpa sedikit pun berhasrat memperkecilkan cadangan tersebut oleh mana-mana pihak, saya malah percaya beberapa perkara wajarlah diperhalusi terlebih dahulu. Pertama, motosikal walau apa prestasi jika ditunggang dengan cermat, berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya kebarangkalian selamat adalah tinggi. Kecuali berlaku faktor-faktor luar jangka seperti disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan lain, kerosakan pada motosikal atau permukaan jalan tidak selamat,” kata Zahid.

“Kedua, pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda. Langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula. Kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja. Malah sektor berkaitan termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal akan turut terkesan.

Ketiga, dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain. Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir. Begitu juga dengan pelajar institusi pengajian tinggi. Tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta buat anak-anak mereka untuk ke kuliah atau kelas,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.

Keempat, kita pernah mendengar tentang kapcai’ walaupun speed-cut (batasan halaju) 110 km/j masih boleh diubah suai untuk ditambah kelajuan. Kerana itu juga kita pernah dengar tentang ‘kapcai’ boleh mencecah kelajuan sehingga 180 km/j untuk tujuan lumba haram. Ini bermaksud walaupun ‘kapcai’ berprestasi tinggi diharamkan, masalah sebenar iaitu kelajuan yang tidak selamat akan terus berlaku.

Justeru, aspek paling penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal adalah berhubung sikap pengguna jalan raya. Tentang usaha memperkasa kesedaran mereka terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.

Menanam elemen prihatin dan saling mengambil berat dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengatasi tingkah laku pentingkan diri. Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya dan peranan keluarga bagi membendung remaja daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram,” kata Zahid.

Beliau menamatkan kenyataan pendapat dengan pepatah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pendapat anda pula bagaimana? Sudah tentu, pengharaman kapcai adalah sesuatu yang tidak patut kerana ramai yang bergantung kepadanya, tetapi adakah pendidikan cukup berkesan untuk mengelak masalah daripada timbul? Adakah terdapat penyelesaian lain?