Selepas ditunjukkan dalam bentuk konsep ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 Januari lalu dengan nama K-EV Concept X-Style, model produksi sebenar K-Car berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) Mitsubishi itu kini telah diperkenalkan secara rasmi di Jepun dengan nama Mitsubishi eK X EV.
Seperti model berkuasa petrolnya iaitu eK X (X disebut sebagai ‘cross’) yang merupakan kembar kepada Nissan Dayz, eK X EV ini pula adalah kembar kepada Nissan Sakura di mana kedua-duanya masih merupakan produk yang dibangunkan dan diproduksi di bawah program kerjasama Nissan Mitsubishi Kei Vehicle (NMKV).
Sakura dan eK X EV berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol.
Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan. Juga sama seperti Sakura, model Mitsubishi ini turut dibekalkan dengan bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh.
Bateri berkenaan memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1). Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), bateri berkenaan boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. Ia juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan
Rupa luaran eK X EV ini nampaknya masih sama seperti eK X bukan-EV. Ia diberikan muka Dynamic Shield dengan elemen ‘X’, bersama lampu nyalaan siang LED tirus di atas dan lampu utama pada bampar seperti Mitsubshi Xpander. Tiang-C K-Car ini hadir dengan kemasan berwarna hitam bagi menampakkan bumbungnya seakan terapung, bersama lampu belakang yang direka menegak.
Walau bagaimanapun, masih terdapat sedikit perbezaan kecil antara eX X EV dengan versi hibrid petrol. Antaranya pada bahagian gril tanpa lubang aliran udara serta diberikan bar melintang untuk eK X EV ini, dan juga lampu kabus berbentuk empat segi berbanding bulat pada eK X biasa.
Bentuk asas papan pemuka model EV dengan model petrol bagi eK X berkenaan juga masih sama, tetapi dibezakan oleh pelbagai perincian. Antara perbezaan pada eK X EV ini termasuk paparan instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen lebih tersendiri dengan pilihan tujuh- atau sembilan inci bergantung kepada varian, tombol gear lebih unik, kawalan penghawa dingin digital dan pelbagai lagi.
Kedua-dua varian eK X EV ini iaitu model asas G dan varian tertinggi P hadir dengan sistem bantuan pemanduan Mi-Pilot secara standard. Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, bantuan dan amaran kekal lorong, lampu tinggi automatik, kawalan salah tekan pedal dan juga pengecam tanda trafik.
Manakala sistem keselamatan lain yang dibekalkan pada K-Car elektrik ini termasuk tujuh-beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS bersama EBD, penderia parkir hadapan dan belakang serta bantuan mula mendaki.
Perincian-perincian lain yang turut didatangkan pada Mitsubishi eK X EV ini termasuk lampu-lampu LED (lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang, serta lampu kabus hanya untuk varian P), pilihan upholsteri hitam atau kelabu (kulit sintetik ditawarkan sebagai opsyen), enam pembesar suara, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup, sistem Mitsubishi Connect (opsyen untuk model G), serta rim aloi 14-inci untuk varian G dan 15-inci untuk varian P.
Mitsubishi eK X EV ini dijual pada harga bermula 2.398 juta yen (RM82,638) untuk model asas G, sehingga 2,932,600 yen (RM101,052) untuk model tertinggi P. Ia adalah jauh lebih mahal dari versi petrol dimana Mitsubsishi eK X biasa dijual pada harga antara 1.463 juta dan 1,688,500 yen (RM50,412 dan RM58,183).
Walau bagaimanapun, dengan subsidi kenderaan tenaga bersih yang diberikan kerajaan Jepun, pelanggan bakal menerima penjimatan bernilai 550,000 yen (RM18,952), membolehkan ia dijual pada harga 1.848 juta yen (RM63,709). Jika dicampur sekali dengan skim pencukaian untuk kereta-eko dan kenderaan ringan serta subsidi dari majlis perbandaran (450,000 yen (RM15,512) di Tokyo, eK X EV ini boleh dibeli dengan harga serendah 1.018 juta yen (RM35,092).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.