Nissan dan Mitsubishi terus mengembangkan kerjasama mereka dalam kei car joint venture (NMKV) dengan mengumumkan empat lagi kenderaan baharu yang bakal diproduksi di kilang Mizushima milik Mitsubishi di Kurashiki, Jepun.

Empat model kei car tersebut ialah Nissan Dayz, Nissan Days Highway Star, Mitsubisgi eK wagon dan Mitsubishi eK X, di mana kesemuanya ditawarkan dengan teknologi pemanduan sendiri yang direka khas untuk kegunaan lorong-tunggal di lebuhraya.

Kereta jenis-wagon tinggi ini turut menawarkan prestasi yang ditambah baik hasil peningkatan platform, enjin dan transmisi. Malah juga akan berkongsi banyak komponen utama, walau bagaimana pun kei car Mitsubishi dan Nissan ini akan membawakan jenama dan rekaan masing-masing. Ia akan mula dijual pada hujung bulan ini.

Usaha sama NMKV ini melancarkan generasi pertama model mereka pada 2013 dan ia adalah hasil kolaborasi yang dipergiatkan apabila Mitsubishi menjadi sebahagian daripada Pakatan pada 2016. Bulan lalu, Nissan Livina terkini yang berkongsi platform dengan Mitsubishi Xpander, telah memulakan jualan di Indonesia.