Mitsubishi Xpander bakal guna logo Nissan pada 2019

Mitsubishi Xpander bakal guna logo Nissan pada 2019

MPV Mitsubishi Xpander akan dibekalkan kepada Nissan bermula 2019 nanti, di mana model berkenaan turut akan dijual menggunakan logo Nissan, memetik sebuah laporan Nikkei. Terdahulu, Mitsubishi Motors menyertai pakatan Renault-Nissan pada Oktober 2016 selepas Nissan membeli 34% kepentingan di dalam MMC.

Mitsubishi Xpander diperkenalkan pertama kali untuk pasaran Indonesia pada Ogos 2017. Diasaskan daripada model XM Concept dari tahun 2016, model berkenaan bersaing di dalam segmen “MPV asas” di dalam pasaran negara itu, dan dicabar antara lain oleh Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio. Xpander – walaupun sebuah MPV – tampil dengan penggayaan yang lebih cenderung kepada SUV serta rekaan muka depan yang tersendiri.

Dikuasakan enjin 1.5 liter, Xpander menjadi model laris oleh MMC di Indonesia; angka jualan di sana dijangka meningkat kepada 137,000 bagi tahun 2018 berbanding 2016 dahulu. Nikkei melaporkan, kira-kira 70% pembeli Xpander merupakan pemilik kenderaan jenama lain sebelum ini; Mitsubishi telah berjaya menarik perhatian pelanggan-pelanggan baru melalui produk berkenaan.

Nissan juga dijangka dapat memanfaatkan model MPV berkenaan untuk pasaran ASEAN, memandangkan usia Grand Livina yang ada dalam pasaran kini sudah mencecah lebih 10 tahun. Menarik juga untuk membayangkan bagaimana Xpander ini akan kelihatan selepas diubah dengan menggunakan rekaan wajah depan “V-Motion” Nissan (seperti pada model Serena S-Hybrid). Xpander juga sebelum ini telah disahkan akan turut memasuki pasaran ASEAN dan Malaysia bermula tahun ini.

Mitsubishi Xpander bakal guna logo Nissan pada 2019

Di dalam laporan yang sama, turut disebut ialah perkongsian platform antara Nissan dan Mitsubishi bagi trak pikap yang bakal dihasilkan, dijangka bermula pada tahun 2021 nanti. Trak satu tan sangat popular di Thailand, dan MMC memang sudah mempunyai kilang pengeluar bagi model Triton/L200 di sana.

Kilang pemasangan Mitsubishi di sana yang terletak di Laem Chabang baru-baru ini sudahpun melepasi angka pengeluaran 5 juta unit. Daripada jumlah berkenaan, 3.7 juta unit dieksport ke 120 negara. Ini menjadikan MMC sebagai pengeksport kedua terbesar di Thailand selepas Toyota.

MMC mempunyai tiga kilang dan satu kilang enjin di Laem Chabang. Litar ujian pertama syarikat itu di luar Jepun juga terletak di daerah yang sama. Dengan reputasi yang lebih kukuh bagi trak pikap, MMC akan mengetuai pembagunan model baru bagi kenderaan itu, walaupun Navara generasi seterusnya akan menggunakan rekaan luaran berbeza. Keseluruhannya, Mitsubishi akan memainkan peranan yang lebih besar di rantau ASEAN, yang merupakan pasaran luar terbesarnya dan paling menguntungkan ketika ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required