Sejak sekian lama, kita kenal Toyota Crown sebagai sedan dengan saiz yang lebih besar dari Toyota Camry, bersama perincian lebih premium dan mewah. Namun untuk model generasi selepas ini, ada laporan mengatakan bahawa Crown akan diubah menjadi sebuah SUV. Nampaknya dakwaan tersebut bukan khabar angin – lukisan paten untuk Crown generasi ke-16 sudah pun tertiris, dan ia adalah crossover fastback!
Menurut Best Car Web, Crown generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,930 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,540 mm serta jarak roda sejauh 2,850 mm. Jadi berbanding model sedan generasi sedia ada, crossover Crown ini adalah 20 mm lebih panjang, 40 mm lebih lebar dan 80 mm lebih tinggi, tetapi jarak rodanya adalah 70 mm lebih dekat.
Model ini diasaskan dari platform TNGA-K, sama seperti beberapa SUV lain seperti Harrier, RAV4 dan juga Lexus RX terkini. Laman berkenaan turut menyatakan bahawa crossover Crown ini akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik dengan enjin 2.5 liter empat-silinder bersama kotak gear CVT, serta pilihan 2.4 liter turbo empat-silinder juga dengan hibrid elektrik bersama kotak gear enam-kelajuan automatik.
Pilihan unit rangkaian kuasa ini turut menerima sistem pacuan semua roda, dan dilihat sama seperti apa yang ditawarkan pada Lexus RX. Jadi bagi model dengan enjin 2.5 liter, ia seharusnya menerima enjin A25A-FXS bersama sistem hibrid selari berkuasa 249 PS dan tork maksima 316 Nm, bersama sistem pacuan semua roda E-Four.
Manakala model 2.4 liter turbo pula, ia sepatutnya dijana oleh enjin T24A-FTS bersama sistem hibrid selari, bersama motor elektrik pada gandar belakang menghasilkan kuasa keseluruhan 373 hp dan tork maksima 550 Nm, sama seperti Lexus RX 500h.
Model dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid juga dilaporkan akan ditawarkan selepas itu, menerusi enjin 2.5 liter dengan pilihan pacuan 2WD dan 4WD. Konfigurasi ini telahpun ditawarkan pada Lexus RX450h+ dengan enjin petrol menghasilkan kuasa 185 PS/227 Nm, manakala motor elektrik hadapan membekalkan kuasa 182 PS dan motor elektrik belakang memberikan 54 PS, menjadikan kuasa keseluruhan adalah 309 PS.
Laporan ini turut menyebut bahawa Toyota Crown crossover ini akan didedahkan di Jepun pada 15 Julai ini, dan ia akan ditawarkan dalam empat varian kemasan, termasuk varian tertinggi RS yang dihasilkan lebih fokus untuk pemanduan. Ia dijangka bakal dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense versi terbaharu, dan dijangka akan dijual pada harga sekitar tujuh juta yen (RM228,074).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.