Kali terakhir Toyota Crown dikemaskini adalah pada penghujung tahun 2020 sebagai model tahun 2021, menggunakan model generasi ke-15 yang diperkenalkan pada 2018. Tak banyak perubahan luaran pada model 2021 berkenaan, dengan sistem pacuan kuasa kekal sama; 3.5L V6 hibrid (299 PS/356 Nm), 2.5L hibrid (184 PS/221 Nm) dan 2.0L turbocas petrol (245 PS/350 Nm).

Terbaru, varian edisi terhad khas untuk pasaran Jepun pula diperkenalkan — RS Limited II dan S Elegance Style III, yang menawarkan panampilan lebih sporty dan elegan. Kedua-dua versi ini menggunakan enjin 2.5 liter hibrid dengan ciri 2WD dan AWD, sementara RS Limited II ada tambahan pilihan enjin 2.0 liter turbocas petrol.

Luaran RS Limited II dibezakan melalui penggunaan perumah gelap bagi lampu utama LED dengan lampu isyarat sequential. Kemasan lampu kabus juga dalam warna hitam, begitu juga dengan gril depan dan kemasan bampar. Tema sama diteruskan juga di bahagian belakang. Rim pula bersaiz 18-inci warna hitam kesat, dengan saiz tayar 255/45R18.

Bahagian dalamannya juga hadir dengan sentuhan lebih sporty, dengan kemasan kulit hitam dan jahitan warna perak untuk kerusi, digandingkan juga dengan kemasan ala logam pada konsol tengah dan lain-lain. Pelapik kakinya juga lengkap dengan imej yang sama seperti ini, begitu juga dengan kuncinya.

Bagi S Elegance Style III pula, ia tampil lebih elegan dan klasik. Kemasan yang ada padanya pula menggunakan tema warna cerah, misalnya pada rim 18-inci yang digunakan, dengan saiz tayar 225/45R18. Bampar depannya pula dikenakan warna yang sama dengan warna badan kenderaan. Di dalam, ia menggunakan material kulit sintetik dalam warna Amber, dengan kemasan corak kayu untuk melengkapinya.

Toyota Crown 2021 RS Limited II ditawarkan dalam warna badan Precious Metal, hitam, Precious Black Pearl, dan Dark Blue Mica, sementara S Elegance Style III dalam warna Precious White Pearl, Silver Metallic dan Emotional Red II.

Di Jepun, RS Limited II dijual pada harga 5,230,000 yen (RM199,247) bagi 2.0L turbo; 5,450,000 yen (RM207,644) bagi 2.5 liter hibrid dan 5,670,000 yen (RM216,026) bagi hibrid AWD. Sementara S Elegance Style III pula datang dalam 2.5 liter hibrid dengan harga 5,290,000 yen (RM201,548), manakala versi 2.5 liter hibrid AWD dijual pada harga 5,510,000 yen (RM209,930).

Toyota Crown RS Limited II

Toyota Crown Elegance Style III