Sebelum pengenalan rasmi Ioniq 6 dibuat tidak lama lagi, Hyundai mendedahkan gambar dekat beberapa bahagian luarnya sebagai teaser. Kesemuanya ada enam gambar, dan melihat kepada salah satu yang mempunyai lampu LED merah panjang, ia kelihatan seperti terletak di atas pintu but dan mempunyai grafik Parametric Pixel sama seperti Ioniq 5.
Melihat kepada gambar c-pillar serta fender, Ioniq 6 jelas mempunyai bentuk yang lebih menggelembung dan licin berbanding Ioniq 5, sementara bampar hadapannya melihatkan beberapa elemen tetapi kebanyakannya tertutup. Di bahagian belakang, sekali lagi kita boleh melihat grafik Parametric Pixel, pada bucu bampar.
Sebahagian muka hadapan Ioniq 6 ini juga terdedah, dengan menampakkan bentuk melengkung serta lampu yang juga menggunakan DRL dengan grafik Parametric Pixel. Bahagian tengah bampar juga mempunyai bahagian panjang yang tidak dicat sama seperti warna badan.
Apa yang diketahui sekarang, Ioniq 6 dibina atas platform E-GMP sama seperti Ioniq 5, Kia EV6 dan Genesis GV60, sekaligus membawa makna ia juga dapat digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 350 kW. Waktu mengecasnya juga dijangka sama seperti EV Kia dan Genesis yang disebutkan tadi – 18 minit dari 5% ke 80%.
Berdasarkan spesifikasi dua kereta itu, Ioniq juga mungkin menggunakan penggerak serta pakej bateri sama seperti Ioniq 5 – pilihan motor tunggal atau berkembar, untuk menghasilkan pacuan RWD atau AWD, serta pek bateri paling besar 77.6 kWh yang mampu memberi jarak gerak 482 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.