Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

Ketika Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan Mercedes-AMG A 35 Sedan dan juga SUV Mercedes-AMG GLA 35 – kedua-duanya versi pemasangan tempatan (CKD) – di Litar Antarabangsa Sepang pagi tadi, syarikat berkenaan turut ‘menjamu’ mata kami dengan jentera ini, Mercedes-AMG GT Black Series!

Bagi yang belum mengetahui, selain dari Mercedes-AMG One yang menggunakan enjin F1 sebenar, Mercedes-AMG GT Black Series ini satu lagi jentera ‘gila tak masuk akal’ yang boleh dibeli dalam pasaran dari jenama Jerman berkenaan.

Kenapa? Kerana Black Series ini adalah model produksi jalan raya dengan spesifikasi hampir sama dengan kereta lumba sebenar Mercedes-AMG GT3, dan ia secara rasmi merupakan kereta produksi jalan raya paling laju di Litar Nürburgring dengan catatan masa 6 minit 43.616 saat!

Model ini juga sebenarnya dihasilkan dalam jumlah terhad, di mana pasaran Malaysia hanya diperuntukkan sebanyak 13-unit, dijual pada harga RM3 juta. Tapi kalau anda banyak duit sekalipun, ia tidak lagi boleh dibeli kerana kesemua 13-unit AMG GT Black Series ini sudah pun habis dijual.

Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

Apa yang hebat sangat sebenarnya model ni? Kita mulakan dengan enjin. Ia masih menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo, bersama sistem pelinciran jenis dry-sump seakan kereta lumba sebenar. Dengar macam sama dengan enjin M178 pada Mercedes-AMG GT R dan GT R Pro kan?

Tapi sebenarnya tidak kerana enjin berkenaan telah menerima rombakan yang cukup besar dan ia diberikan kod enjin M178 LS2. Rombakan berkenaan melibatkan penukaran aci engkol dari jenis cross-plane kepada flat-plane, sekaligus urutan nyalaan (firing order) turut perlu diubah kepada 1-8-2-7-4-5-3-6.

Ia juga dipadankan dengan aci seondol dan manifold ekzos baru, intercooler lebih besar, bersama roda pemampat pengecas turbo lebih besar, membolehkan ia menghasilkan 730 PS dan tork maksima 800 Nm. Sebagai perbandingan, enjin M178 pada GT R dan GT R Pro ‘hanya’ menghasilkan 557 PS dan tork maksima 680 Nm.

Transmisi klac berkembar AMG Speedshift 7G-DCT tujuh kelajuan yang dipadankan bersama enjin baru ini juga dipertingkatkan dan diberi sistem penyejukan lebih baik untuk bertahan dengan jumlah tork yang lebih tinggi.

‘Tiub tork’ (komponen struktur transaxle yang menghubungkan enjin dan transmisi) yang sebelum ini menggunakan aluminium diganti dengan gentian karbon (40% lebih ringan dengan berat cuma 13.9 kg) manakala driveshaft di dalamnya juga dibuat daripada gentian karbon.

Pada bahagian casis, wishbone, steering knuckle dan pemegang hab di depan dan belakang semuanya diganti dengan komponen yang diperbuat daripada aluminium forged untuk mengurangkan berat keseluruhannya.

Sistem kawalan cengkaman AMG Traction Control disediakan pada kereta ini, dengan terdapat sembilan tahap yang boleh dipilih tetapan Level 9 membenarkan gelinciran maksimum sekiranya pemandu mahu melakukan aksi drift. Rim forged 10 jejari serta sistem brek seramik, angkup hitam dan pad serta cakera brek sports diberikan secara standard.

Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

Untuk pengetahuan anda juga, catatan masa yang dibuat oleh Mercedes-AMG GT Black Series ini Nürburgring adalah jauh lebih pantas berbanding Mercedes-AMG GT R Pro – bukan sekadar 4-5 saat, tapi 21 saat! Menurut Mercedes-AMG, bukan hanya kuasa kuda lebih besar yang membuatkan GT Black Series ini lebih laju, ia juga melibatkan perubahan aerodinamik dan juga talaan semula pada suspensi yang ekstensif.

Ini kerana kelengkapan aerodinamik serta sistem suspensi AMG Black Series ini diispirasikan dari kereta lumba AMG GT3 dan ia boleh dilaras sepenuhnya bagi memenuhi gaya pemanduan pemandu dan juga keadaan litar. Untuk catatan masa yang dibuat di Nürburgring pada November 2020 berkenaan, splitter udara gentian karbon hadapannya telah dilaras pada posisi “Race” (posisi Street untuk talaan kurang agresif), manakala bilah sayap bawah dan atas pada spoiler belakang telah dilaras pada posisi pertengahan.

Model Black Series ini juga menerima penutup bonet gentian karbon hadapan dengan dua liang ekzos bersaiz besar. Menurut Mercedes-AMG, ia bukan sahaja dapat mengalirkan udara panas keluar dari ruang enjin, malah turut memberikan downforce lebih kuat. Sebahagian bawah badan kereta ini juga ditutup bagi memberikan aliran udara lebih lancar.

Manakala pada suspensi, ketika rekod berkenaan dibuat penyerap hentak adaptif AMG boleh laras pada kereta ini direndahkan 5 mm di hadapan dan 3 mm di belakang bagi memperbaiki kesan venturi pada diffuser hadapan. Sudut camber pula ditala pada kedudukan paling maksima iaitu 3.8 darjah di hadapan dan 3 darjah di belakang.

Untuk mengurangkan lagi beratnya, Black Series ini turut menerima cermin yang lebih nipis, manakala aerofoil belakang mampu menyumbang kepada daya tolak ke bawah sehingga 400 kg pada 250 km/j.

Kabin jentera ini turut tampil persis kereta lumba sebenar, dengan dilengkapi tempat duduk AMG Performance, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin 10.25 inci untuk infotainmen, roda stereng AMG Performance serta opsyen AMG Track Package yang memberikan roll bar titanium, tali pinggang keladar empat, pemadam api, upholsteri kulit Nappa dan Dinamica, serta penarik pintu jenis tali di dalam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required