Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 2022 CKD dilancar di Malaysia – RM325k tanpa SST, 306PS/400 Nm, AWD

Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 2022 CKD dilancar di Malaysia – RM325k tanpa SST, 306PS/400 Nm, AWD

Selepas dilancarkan di Malaysia pada 2019 dalam versi diimport sepenuhnya, kini sedan berprestasi tinggi Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 secara rasminya diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan. Pengenalan model AMG sebenar untuk A-Class sedan ini juga adalah susulan dari pelancaran model sedan A200 CKD dan A250 CKD pada Oktober tahun lalu.

Untuk mereka yang menempah model CKD ini sebelum 30 Jun 2022, ia dijual pada harga RM 325,090 kerana masih menerima insentif pengecualian cukai jualan dan servis (SST). Manakala bermula 1 Julai, Mercedes-AMG A 35 Sedan CKD ini dijual pada harga RM 343,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan diberikan waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan.

Sebagai perbandingan, A 35 Sedan ini dijual pada harga RM348,888 dalam versi CBU ketika diperkenalkan di Malaysia pada September 2019. Apabila kerajaan memulakan insentif pengecualian cukai jualan (SST), model ini dijual pada harga RM336,278. Jadi untuk harga tanpa SST, model ini adalah sekita RM11k lebih murah, manakala bermula 1 Julai nanti harganya adalah RM5k lebih rendah berbanding model asal CBU yang dilancarkan pada 2019.

Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 2022 CKD dilancar di Malaysia – RM325k tanpa SST, 306PS/400 Nm, AWD

Sama seperti versi CBU sebelum ini, Mercedes-AMG A 35 Sedan yang dipasang di Pekan, Pahang ini masih dijana oleh enjin petrol M260 2.0 liter empat-silinder turbo menghasilkan 306 hp pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 hingga 4,000 rpm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift 7G bersama sistem pacuan semua roda 4Matic.

Sistem 4Matic berkenaan mampu untuk menghantar tork ke gandar belakang sehingga 50% menerusi klac pelbagai lapisan electro-mekanikal. Prestasi juga masih sama di mana dengan sistem launch control yang dibekalkan pada Race Mode, ia mampu berlepas seperti lastik bagi mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

Berbanding model standard, versi prestasi tinggi sebenar AMG ini diberikan kerangka badan yang lebih tegar. Bahagian hadapan diberikan panel aluminum digelar “shearing plate”, dan bersama pendakap diognal tambahan, ia memberikan ketegaran torsi bagi membolehkan A 35 Sedan ini mengambil selekoh dengan lebih jitu serta sudut toe dan camber lebih baik untuk lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 2022 CKD dilancar di Malaysia – RM325k tanpa SST, 306PS/400 Nm, AWD

Bahagian hadapan juga masih menerima suspensi topang McPherson dengan geometri gandar istimewa dan lengan-lengan kawalan ringan diperbuat dari aluminium. Manakala di belakang diberikan sistem empat-hubungan yang sama seperti model hatchback A 35.

Ia datang standard dengan sistem suspensi AMG Ride Control, menampilkan penyerap hentak adaptif, dan juga sistem stereng sport elektro-mekanikal sensitif kelajuan serta AMG Dynamics torque vectoring yang berfungsi menggunakan sistem brek.

Rupa A 35 Sedan ini juga kekal agresif sama seperti versi hatchback. Ia menerima pakej penggayaan penuh AMG Line, terdiri dari gril twin-louvre, liang udara hadapan lebih besar dan juga skirt sisi lebih labuh. Manakala di belakang, bampar sedan ini menerima diffuser bersama dua tip ekzos oval, serta spoiler pada penutup but.

Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 2022 CKD dilancar di Malaysia – RM325k tanpa SST, 306PS/400 Nm, AWD

Model pasaran Malaysia ini menerima set rim aloi ringan AMG lima-jejari berkembar bersaiz 19-inci, bersama fender yang lebih lebar dari A-Class biasa. Dan disebalik roda tersebut, kereta ini dihentikan dengan angkup monoblok empat omboh bersama cakera ditebuk 350 mm di hadapan, serta angkup satu omboh dan cakera 330 mm di belakang.

Enam warna ditawarkan untuk Mercedes-AMG A 35 Sedan CKD ini iaitu Polar White, Cosmos Black, Iridium Silver, Mountain Grey dan Denim Blue.

Bahagian kabin sedan ini turut menyerupai model hatchback dengan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit yang terdiri dari dua buah skrin yang masing-masing bersaiz 10.25-inci serta sistem perantara baharu Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menggunakan arahan suara ‘Hey, Mercedes’.

Ia dihubungkan kepada sistem bunyi surround Burmester bersama modul komunikasi terkini (LTE) bagi membolehkan fungsi servis terhubung Mercedes me beroperasi, iaitu salah satu perincian dalam sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz.

Ia juga datang standard dengan roda stereng rata di bawah AMG Performance balutan kulit Nappa, yang diberikan dua butang dan suis putar yang boleh digunakan bagi menetapkan pilihan sistem AMG Dynamic Select, menawarkan pilihan talaan mod pemanduan Slippery, Comfort, Sport, Sport + dan Individual.

Model CKD ini turut diberikan opsyen upholsteri gentian mikro Dinamica hitam atau kulit sintetik Artico bersama perapi-perapi Aluminium AMG Design dalam kemasan hitam atau perak. Tempat duduk hadapan boleh dilaras secara elektrik dengan fungsi memori, manakala tali pinggang keledar Manufaktur berwarna merah turut diberikan secara standard. Sedan prestasi tinggi ini masih memberikan ruang but belakang dengan kapasiti 420 liter.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required