Bagi menjadikan pilihan lebih menarik, pengedar kenderaan BMW di Malaysia, Auto Bavaria (AB), telah memperkenalkan pakej edisi terhad untuk model 218i Gran Coupé M Sport F44. Melalui pakej ini, kereta tersebut akan ditambah dengan beberapa kelengkapan dan barang hiasan.
Pembeli disediakan dengan tiga pilihan, dengan yang dijangka menjadi pilihan utama adalah pakej Aesthetics, menjadikan kereta tersebut bernilai RM228,000. Harga ini adalah RM15,400 lebih mahal berbanding model standard (RM213,400), dan anda akan menerima beberapa barang M Performance Parts di bahagian luar.
Ini termasuklah gril hitam berkilat dengan rekaan seperti M235i, lapik cermin sisi gentian karbon, spoiler atas but warna hitam serta pemancar logo BMW M. Menurut AB, semua komponen ini bernilai RM8,888 dan turut diberi adalah penapis cahaya cermin, baucar petrol RM3,000 serta cawan seramik Sttoke.
Pembeli juga boleh memilih pakej Signature Sound yang menjadikan harga kereta RM227,800 (lebih RM14,400 berbanding model standard). Pakej ini memberikan naik taraf pembesar suara Harman Kardon bernilai RM8,400, pembesar suara mudah alih Bluetooth Harman Kardon berharga RM1,699, penapis cahaya cermin serta cawan seramik Sttoke. Jika mahu mendapatkan barang dalam kedua-dua pakej ini, anda boleh menggabungkannya dengan memilih Best of Both Worlds, yang menjadikan harga kereta RM233,800.
Kelengkapan lain pada kereta standard dikekalkan, termasuk lampu utama LED, rim 18 inci, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, balutan kulit Dakota asli, kemasan dalam “Boston” berlampu, cermin boleh malap sendiri, kamera undur, bantuan parkir, BMW Live Cockpit Professional dengan dua skrin 10.25 inci dan pintu but boleh buka tanpa sentuh.
Turut dikekalkan adalah pakej Driving Assistant yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik, serta Traffic Sign Recognition. Stability Control dan enam beg udara diberi secara standard.
Penggeraknya adalah enjin tiga silinder turbo 1.5 liter, menghasilkan 140 PS pada 4,600 hingga 6,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,480 hingga 4,200 rpm. Dengan transmisi klac berkembar Getrag dan pacuan roda hadapan, model ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 213 km/j.


BMW iX1 L
dari RM 252,800
BMW iX
dari RM 425,800
BMW X3
dari RM 325,800
BMW M5
dari RM 1,188,800
BMW M4 Coupe
dari RM 878,800
BMW 2 Series Gran Coupe
dari RM 218,800
BMW 3 Series
dari RM 265,800
BMW 3 Series M
dari RM 388,800
BMW i4
dari RM 294,800