BMW 218i Gran Coupé M Sport 2022 di Malaysia; skrin lebih besar, BMW Operating System 7, kini RM206,707

BMW 218i Gran Coupé M Sport 2022 di Malaysia; skrin lebih besar, BMW Operating System 7, kini RM206,707

BMW 218i Gran Coupé M Sport 2022 telah pun tiba di Malaysia, dengan naik taraf infotainmen terkini yang diperkenalkan pada November lalu. Untuk itu, kami tampilkan galeri penuh model kompak empat-pintu coupé ini untuk tatapan anda.

Model ini dilancarkan pada tahun 2020 dengan BMW Live Cockpit Plus, diberikan skrin sesentuh tengah 8.8-inci dan kluster instrumen analog dengan paparan pelbagai-info 5.1-inci. Jelas, ia tidak mencukupi untuk jentera dalam sektor premium – terutamanya apabila sedan Mercedes-Benz A-Class telah pun diberikan paparan berkembar 10.25-inci secara standard.

Jadi BMW Malaysia membuat keputusan untuk memberikan sistem Live Cockpit Professional, termasuk diberikan skrin berkembar instrumen dan infotainmen. BMW Operating System 7 yang ditampilkan adalah menggantikan sistem Plus, tetapi dengan adanya paparan yang lebih besar dengan widget yang boleh disesuaikan dengan interface.

Dengan pengenalan model pada tahun lalu, harganya juga telah meningkat sekitar RM5,000, kini mencecah RM204,177, harga atas jalan dengan insurans. Namun untuk model tahun 2022, harga bagi 218i telah naik lagi sebanyak RM2,530, kini RM206,707, termasuk rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini. Ia turut diberikan waranti asas selama dua-tahun dengan perbatuan tanpa had.

Ini bermakna, untuk mendapatkan pakej servis dan waranti lima-tahun, 218i dijual pada harga RM221,817, RM1,300 lebih mahal berbanding A 200 Sedan. Tahun ini, A 200 Sedan telah diberikan peningkatan dengan tempat duduk penumpang hadapan menerima larasan berkuasa.

Dan ciri tersebut turut diberikan untuk 218i, bersama dengan tempat duduk pemandu yang juga menerima fungsi memori. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong di belakang.

Namun ada beberapa ciri yang digugurkan dari senarai kelengkapan 218i, mungkin disebabkan kekurangan cip semikonduktor di peringkat global. Ini termasuklah ciri BMW Digital Key untuk kegunaan iPhone, dan juga pengecas tanpa wayar Qi. Selain itu, ciri larasan berkuasa bagi bolster untuk tempat duduk penumpang (kini hanya ada untuk bahagian pemandu sahaja), turut digugurkan. Malahan ciri tersebut tiada untuk hampir kesemua model BMW di Malaysia.

Selain itu, ciri kelengkapan lain masih dikekalkan. Ia masih diberikan kit badan M Sport yang lebih agresif, lampu utama, lampu kabus dan lampu belakang LED, roda aloi dwi-tona Style 819 M 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, upholstery kulit tulen Dakota, kemasan dalaman “Boston” iluminasi, tempat duduk yang boleh dilipatkan dengan nisbah 40:20:40, cermin anti silau, kamera undur, bantuan parkir, enam pembesar suara dan boatlid bukaan bebas-tangan.

Untuk aspek keselamatan, pakej Bantuan Pemandu masih dikekalkan, yang didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan pengesan isyarat trafik. Namun ia masih belum diberikan ciri pemanduan Level 2 semi-autonomous seperti kawalan kelajuan adaptif atau bantuan pemusatan stereng. Walau bagaimana pun, enam beg udara dan kawalan kestabilan masih diberikan secara standard. Cagak ISOFIX kini turut diberikan untuk tempat duduk penumpang hadapan – bukan hanya pada tempat duduk belakang.

218i ini masih dikekalkan dengan penjana kuasa yang sama, iaitu unit B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang mampu memberikan kuasa hingga 140 PS dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,480 hingga 4,200 rpm. Ia juga diberikan transmisi dwi-klac kering Getrag dan pacuan roda-hadapan, membolehkan 218i ini dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 8.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 213 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi pula pada kadar 5.9 liter untuk setiap 100 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required