Dalam senyap-senyap, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberi peningkatan kepada A-Class Sedan CKD tahun ini, dengan model V177 itu mendapat beberapa ciri dan kelengkapan baru, seperti yang boleh dilihat dalam laman web MBM dan disahkan sendiri oleh syarikat itu.
A 200 kini mendapat lampu suasana 64 warna serta tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa, sama seperti model CBU sebelum ini. Selain daripada itu, MBM juga memberitahu bahawa sistem pengawal suhu telah diubah kepada Thermatic satu zon, dan varian ini ditambah dengan pemerhati titik buta.
A 200 dan A 250 AMG Line juga sekarang datang dengan pengecas tanpa wayar, akses but tanpa pegang, bantuan kekal lorong aktif serta lampu tinggi automatik. Bagi ciri terakhir itu, semasa kereta ini diimport dari luar, ia memang sudah ada, tetapi apabila dijadikan CKD ia telah dikeluarkan.
Penambahan ciri-ciri ini menjadikan harga kedua-dua varian A-Class Sedan CKD ini meningkat sedikit, dengan A 200 Progressive Line sekarang dijual pada harga RM220,459 dan A 250 AMG Line RM243,858, tidak termasuk insurans, sekali dengan pengecualian cukai SST sehingga 30 Jun. Harga ini bersamaan dengan tambahan RM9,556 bagi A 200 dan RM4,000 bagi A 250.
Bahagian lain termasuk mekanikal tidak berubah, di mana A 200 terus menggunakan enjin empat silinder turbo 1.33 liter 163 PS dan 250 Nm, manakala A 250 menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo M260 dengan kuasa 224 PS dan 350 Nm tork. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
GALERI: Mercedes-Benz A 250 AMG Line Sedan CKD V177
GALERI: Mercedes-Benz A 200 Sedan CKD V177