Sudah memasuki bulan Julai, Honda Malaysia (HMSB) kini mendedahkan prestasi jualan mereka untuk separuh pertama tahun 2022. Syarikat itu berjaya menjual 39,000 unit untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekaligus meletakkan ia di laluan betul untuk mencapai sasaran tahunan 80,000 unit.
Catatan jualan separuh tahun pertama ini menunjukkan peningkatan sebanyak 60% berbanding tempoh sama tahun lepas, dan Mac adalah bulan terbaik dengan lebih 10,500 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan. HMSB menambah, mereka juga berjaya menerima lebih 105,000 tempahan dari tempoh Januari hingga Jun 2022.
Melihat pecahan mengikut model, City adalah yang paling laku, dengan menyumbang 39% daripada jumlah jualan keseluruhan, diikuti City hatchback 23% dan Civic 18%. Sebagai makluman, tiga model ini, serta Accord adalah model bukan nasional paling laris dalam segmen masing-masing dari bulan Januari hingga Mei.
“Penerimaan baik model Honda baru ini (seperti Civic dan HR-V serba baru) telah membantu meningkatkan prestasi jualan kami tahun ini. Kami menyaksikan permintaan tinggi melalui tempahan yang dibuat sebelum tempoh pengecualian cukai berakhir 30 Jun lalu, dengan lebih 105,000 tempahan dibuat dalam masa enam bulan pertama tahun ini,” kata pengarah urusan dan CEO HMSB, Hironobu Yoshimura.
“Syarikat bekerja keras untuk memastikan kereta baru ini dapat disampaikan kepada pelanggan dalam masa yang ditetapkan sambil mengekalkan kualiti tingginya. Honda Malaysia ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pelanggan kami atas sokongan yang diberi, serta kesabaran mereka,” tambah beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Tanpa chip shortage, cerita akan berbeza