Proton telah mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan pertama bagi separa kedua 2022, yang menyaksikan ia berjaya menjual sebanyak 11,477 unit kenderaan bagi pasaran tempatan dan eksport sepanjang bulan Julai. Jumlah jualan berkenaan dilihat turun berbanding bulan sebelumnya dimana Proton mencatatkan jualan sebanyak 14,787 unit kereta pada Jun.
Walau bagaimanapun, jualan kumulatif tahunan untuk Proton dari Januari sehingga Julai kini sudah mencecah 71,061 unit, atau 19.7% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini membolehkan Proton kekal di kedudukan kedua dalam jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7% bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7%. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun.
Bulan Julai 2022 ini juga mencatatkan satu lagi sejarah buat Proton apabila X50 bukan sahaja menjadi model paling laris dalam kelas SUV segmen-B, malah dinobatkan model paling laris di Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 4,763 unit. Menurut Proton, ini adalah pertama kali dalam sejarah apabila sebuah model dalam segmen SUV berjaya menjadi model paling laris di Malaysia.
Jumlah jualan X50 tersebut melangkaui jumlah jualan sedan mampu milik Proton iaitu Saga yang biasanya menjadi model paling larisnya. Sepanjang Julai, Saga berjaya dijual sebanyak 4,521 unit, dan ia sebenarnya masih kekal sebagai sedan segmen A paling laris di Malaysia. Menurut Proton, sejak Saga MC2 diperkenalkan pada 12 Mei lalu, ia telah berjaya mencapai pendaftaran sebanyak 9,811 dalam masa 80 hari sahaja.
Manakala satu lagi model SUV Proton iaitu X70 turut mencatatkan peningkatan jualan dengan 1,704 unit telah dihantar kepada pelanggan. SUV ini telah pun menerima kemaskini yang dilancarkan pada Jun lalu, dan kini turut tampil dengan enjin 1.5 liter tiga silinder T-GDI, manakala enjin 1.8 liter T-GDI hanya ditawarkan varian tertinggi.
Proton Exora juga kekal sebagai MPV segmen C paling laris sepanjang Julai dengan jualan sebanyak 476 unit. Namun agak malang bagi Proton kerana hanya dapat menghantar sebanyak lima unit sedan segmen-B Proton Persona dan lapan unit kembar hatchbacknya iaitu Proton Iriz kerana kedua-dua model berkenaan masih menanti kelulusan harga baharu dari pihak berkuasa.
“Berikutan bulan Jun yang sibuk di mana jenama industri automotif berebut-rebut untuk mengumpul tempahan sebelum tamat insentif SST, Julai merupakan bulan di mana permintaan pasaran jatuh ke paras normal. Oleh itu tumpuan telah diberikan untuk memenuhi tempahan yang telah diterima. Proton tidak terkecuali dan dengan keadaan bekalan komponen kami yang terus bertambah baik, kami dapat menunjukkan potensi jualan sebenar Proton X50,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.