Susulan kemalangan ketika perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Drag Antarabangsa Gong Badak, Terengganu Sabtu lalu yang mengorbankan seorang pelumba, hari ini Gabungan kelab-kelab berdaftar MAM telahpun mengeluarkan satu kenyataan rasmi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, gabungan kelab sukan permotoran berkenaan terlebih dahulu meluahkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga pelumba terbabit, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin (lebih mesra dengan panggilan Apeh Jamal).

Gabungan kelab-kelab sukan permotoran berkenaan menyatakan bahawa insiden tersebut mungkin tidak akan bertukar tragedi sekiranya acara itu dijalankan mengikut peraturan keselamatan yang diperlukan yang ditetapkan oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang merupakan badan induk rasmi sukan permotoran di Malaysia.

Ini kerana di bawah peraturan keselamatan yang ketat dan juga kawal selia yang betul untuk sukan permotoran, ia boleh mengurangkan risiko kemalangan teruk. Peraturan-peraturan dan juga kawal selia berkenaan meliputi pelbagai aspek termasuk reka bentuk dan keselamatan litar, perancangan kakitangan perubatan dan keselamatan, perancangan tindak balas kecemasan, peralatan keselamatan kenderaan dan pemandu, serta pemeriksaan dan prosedur keselamatan.

Gabungan berkenaan menyatakan bahawa pihak penganjur perlumbaan drag BOTK 2022 sepatutnya mematuhi prosedur permohonan permit am agar acara tersebut berlangsung dengan selamat dan teratur.

“Walaupun tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) rasmi untuk memohon dan menerima permit acara sukan permotoran di negara ini, modus operandi dan keperluan keseluruhan untuk menganjurkan acara perlumbaan yang dibenarkan secara rasmi di Malaysia meletakkan Permit Acara MAM sebagai dokumen keutamaan sebelum Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengeluarkan dokumen pengesahan mereka; dengan adanya dua permit ini pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan kelulusan acara yang akan dilangsungkan.

“Acara perlumbaan yang diluluskan oleh MAM hanya boleh dianjurkan dan diuruskan oleh kelab penganjur yang bergabung secara rasmi dan dibenarkan untuk berbuat demikian oleh MAM – penganjur yang tidak bergabung dengan MAM perlu melibatkan diri dengan kelab-kelab yang berdaftar dengan MAM dengan keperluan keselamatan ini untuk menjalankan sebarang acara sukan permotoran berskala besar di negara ini,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah gabungan itu lagi, badan dan organisasi yang membina dan membangunkan kemudahan sukan permotoran harus berhubung dengan MAM untuk memastikan tempat/lokasi yang digunakan tersebut dibina dan dibangunkan mengikut piawaian minimum yang diperlukan bagi menjalankan acara perlumbaan yang selamat.

“Piawaian ini tidak semestinya menelan kos tetapi boleh mengurangkan risiko kecederaan yang teruk. Penganjur acara juga boleh bekerjasama dengan MAM untuk melaksanakan acara dan keselamatan litar yang lebih baik sekiranya pengendali litar mungkin tidak dapat menaik taraf kemudahan mereka untuk memenuhi keperluan minimum – contohnya apabila penganjur Cub Prix memasang pagar keselamatan dan penghadang beg udara untuk menaik taraf tempat hanya untuk memastikan perjalanan acara perlumbaan dengan selamat di seluruh negara,” jelas gabungan kelab itu lagi.

Gabungan Kelab Sukan Permotoran tersebut turut memohon agar peraturan sukan permotoran terutamanya keselamatan dipandang serius oleh semua pihak, dan berharap insiden ini akan menjadi pembuka mata kepada semua badan yang terlibat. Ia turut meminta agar kriteria dan prosedur kelulusan standard dibangunkan secara rasmi dan dikuatkuasakan untuk melindungi anggota dan nyawa peserta sukan permotoran dalam acara-acara lain selepas ini.

“Janganlah kita menerima dan redah nyawa arwah Muhamad Hafez hilang sia-sia, tetapi sepatutnya menjadi pemangkin kepada perubahan dan peningkatan dalam bidang sukan permotoran Malaysia.

“Kami berharap badan kerajaan, penganjur acara dan peserta sukan permotoran dapat memahami bahawa peraturan dan regulasi yang dibuat oleh MAM adalah untuk keselamatan semua peserta dan kakitangan yang terlibat dalam acara sukan permotoran di negara ini. Pematuhan kepada peraturan ini adalah untuk memastikan hobi dan industri kita selamat dan mampu berkembang untuk masa hadapan,” tegas kenyataan berkenaan.

Gabungan kelab-kelab berdaftar MAM ini dianggotai oleh Kelab Sukan Bermotor MSF (Adian Yein Khalid sebagai presiden), Kelab Sukan Bermotor Integrasi (Dato Sayed Alfeizal Sayed Ahmad sebagai presiden), Kelab Sukan Bermotor Mines (Matahari Lee Thai Young sebagai presiden), Pocket Bike Association of Malaysia (Akhtar Ayub Bin Mohd Aslam sebagai presiden), Millennium Motorsports & Adventure Club (Hj. Sutan Mustaffa Salihin sebagai presiden), Kelab Sukan Bermotor BRAAAP (Azuan Izadee sebagai presiden) dan Kelab Sukan Bermotor Maju (Ahmad Nadzrie Bin Ahmad Shuhaimi sebagai presiden).

Semalam MAM telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi mereka yang menyatakan bahawa penganjuran perlumbaan BOTK 2022 tersebut sebenarnya tidak mendapat kelulusan dan dikawal-selia oleh pihaknya, dan menyatakan bahawa fasiliti di Litar Gong Badak hanya selamat digunakan untuk perlumbaan motosikal.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, Apeh Jamal meninggal dunia setelah Mitsubishi Lancer Evolution IX berkuasa lebih dari 1,000 hp yang dipandunya dalam perlumbaan drag BOTK 2022 itu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok berhampiran litar berkenaan.