Acura Integra Project – Dai Yoshihara

Ketika dilancarkan pada Mac lalu, ramai yang tidak berpuas hati dengan rupa Acura Integra generasi baharu ini. Namun sejak era 90’an dahulu, Honda disifatkan sebagai pengeluar kereta ‘separa siap’ – separuh dibuat di kilang, dan separuh lagi perlu disiapkan oleh pemiliknya mengikut selera masing-masing.

Nah, ini dia tiga buah Acura Integra 2023 yang telah pun diubahsuai dan akan di bawa ke acara kenderaan ubahsuai terbesar di Amerika Syarikat, SEMA 2022 yang mungkin akan mengubah persepsi anda terhadap model berkenaan! Kesemua Integra tersebut bukanlah diubahsuai sendiri oleh Acura, sebaliknya dijalankan oleh tiga individu berbeza iaitu drifter dan pelumba profesional Dai Yosihara, selebriti Sara Choi dan atlet basikal BMX Coco Zurita.

Untuk Integra Dai Yoshihara, projek ini dihasilkan bersama Evasive Motorsports. Ubahsuai enjin yang dilakukan termasuk penggunaan penuras udara dan sistem ekzos dari Spoon (Dai juga merupakan pelumba untuk Spoon) dan unit intercooler lebih besar dari CSF. Manakala untuk casis pula, Dai memilih set suspensi boleh laras RSR Sport-1 bersama lengan atas dan bawah suspensi yang boleh dilaras dari Whiteline.

Bahagian luaran Integra Dai ini diberikan rupa seakan jentera litar time attack. Ia menerima kit aero terdiri dari air dam dan splitter hadapan, cermin sisi dan skirt sisi karbon semuanya dari EVS Tuning, serta fender flare dan sayap GT Type 12 dari Voltex.

Rupa kereta ini dilengkapkan dengan rim forged BBS REV7 berdiameter 18-inci dengan 9.5 j dan offset +22, dibalut dengan tayar slick Yokohama A005 bersaiz 250/650/R18. Brek Integra ini turut dipertingkat dengan kit brek besar Stoptech ST-40 Trophy pada bahagian hadapan.

Manakala dalam kabin, Dai turut memberikan imej seakan kereta lumba pada Integra ini, menampilkan set roll cage enam-point dari Eimer Engineering, tempat duduk perlumbaan kevlar Sparco QRT-R bersama tali keledar enam point Sparco Prime H7 dan roda stereng Sparco R325 bersama bosskit buka-cepat Sparco Racing.

Kokpit pemandu juga diberikan paparan instrumen digital perlumbaan AEM CD-7, penukar gear jenis short shifter boleh laras dari Acuity bersama tombol titanium EVS Tuning, serta panel dalaman pintu dari karbon kering dan konsol tengan karbon kedua-duanya juga dari EVS Tuning.

Beralih ke Integra Sara Choi, projek ini dijalankan bersama Tony Star Performance. Choi memilih untuk memadankan kit badan lebar untuk projek ini yang direka sendiri olehnya bersama Walter Kim. Apa yang menarik, kit badan berkenaan memberikan rupa seakan Integra Type R DC2 terutamanya pada sebelah belakang.

Sara Choi menggunakan set suspensi boleh laras Tein Suspension Flex Z bagi merendahkan Integra ini. Ruang roda yang kini lebih lebar dipenuhkan dengan set roda gandingan rim Advan RSDF berdiameter 19 inci dengan lebar 10j bersama tayar Nexen Sport R bersaiz 245/40/R19 di hadapan, dan set lebih lebar dengan rim 10.5 j bersama tayar 275/35/R19 di belakang.

Untuk kabin, ia kini menerima tempat duduk bucket Evasive Motorsports x Bride Zeta IV, tombol gear berbentuk titisan air dari Battle Craft Hyper dan roda stereng Dogfight Race Pro bersama bosskit buka-cepat Battle Craft Hyper RQR. Manakala untuk enjin, ia dipertingkat menerusi pemadanan intercooler dan penyejuk minyak GReddy Performance serta sistem ekzos Cat-Back Sports Touring.

Acura Integra Project – Coco Zarita

Coco Zarita bukan hanya aktif dalam sukan BMX, malah atlit dari Santiago, Chile itu juga merupakan drifter amatur. Bagi projek Integra ini, Zarita memilih Autotuned untuk bekerjasama.

Untuk enjin, Integra Zarita ini diberikan sistem kemasukan udara sejuk dari HPS, unit intercooler dari GReddy, dan sistem ekzos dari A’PEXi. Hos-hos sistem penyejukkan juga ditukar menggunakan komponen dari HPS, dan kemudian penutup kepala enjin ditukar dengan komponen dari HiRev Sports yang berwarna merah.

Set suspensi asal telah ditukat menggunkan set penyerap hentak boleh laras RSR Sport-I, ditambah dengan bar strut hadapan berprestasi dari HPS. Manakala untuk brek, bahagian hadapan kini menerima cakera lebih besar bersama angkup enam-omboh dari Wilwood.

Bahagian luaran Integra Coco Zarita ini nampak lebih garang dengan pemadanan kit badan karbon dari Auto Tuned, yang terdiri dari lips hadapan, skirt sisi, dan juga over fender 30 mm lebih lebar. Ia juga menerima cermin sisi karbon APR GT, sayap belakang karbon APR GTC serta balutan badan penuh dengan pelekat 3M berwarna Gotham Gray bersama grafik badan dari Andreas Wennevold.

Manakala dalam kabin, Integra Zarita ini diberikan tempat duduk perlumbaan, tali keledar enam-point camlock dan roda stereng MOD Drift, kesemuanya dari Momo.

“Kami ambil beberapa inspirasi dari rekaan NSX GT dan menambah beberapa perincian kereta lumba bagi membantu menyerlahkan gaya saya yang tersendiri dan memperoleh rupa baharu ini untuk Integra generasi seterusnya,” kata Coco Zarita.

Acura Integra 2023 ini dihasilkan dari Honda Civic generasi ke-11, dengan diberikan penggayaan lebih tersendiri termasuk but belakang yang boleh dibuka secara liftback. Ia juga menerima enjin 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo, diberikan talaan yang sama seperti Civic Si bagi menghasilkan 200 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 260 Nm bermula 1,800 hingga 5,000 rpm.

Berbanding Civic Si yang hanya dihasilkan dengan kotak gear manual, Acura Integra 2023 ini pula menampilkan transmisi CVT automatik secara standard, bersama pedal penukar gear pada roda stereng bagi membolehkan pemandu memilih gear seakan gear manual pada kotak gear CVT tersebut.

Acura turut menawarkan kotak gear enam-kelajuan manual untuk Integra 2023 ini, yang diambil terus dari Civic Si dengan diberikan nisbah gear rapat, tuil gear jenis short-shift dan juga sistem rev-match yang membolehkan anda menurunkan gear secara agersif tanpa kemahiran heel & toe. LSD jenis helical juga dipadankan pada kotak gear manual ini bagi membolehkan kedua-dua tayar hadapan ‘mengigit’ permukaan jalan ketika mengambil selekoh.