VIDEO: Spoon Civic Type-R Turbo – satu-satunya FD2R di dunia dengan pemandu di bahagian tengah

Tahun lalu, pada pusingan ketiga siri Kejuaraan Global Time Attack (juga pusingan yang dikenali sebagai Super Lap Battle) yang diadakan di litar Buttonwillow Raceway, California, Honda Civic Type-R FD2R Spoon berjaya meraih tempat pertama dalam kategori Unlimited FF (Front engine, Front wheel drive) dengan catatan masa 1 minit 45.5 saat.

Untuk memperbaiki catatan masa berkenaan serta bagi mengekalkan ia kompetitif untuk bertanding dalam saingan yang lebih sengit, Go Tuning – pengedar sah perlalatan Spoon Sports di Amerika Utara – telah melakukan pengubahsuaian yang agak drastik pada kerangka Civic berkenaan iaitu memindahkan kedudukan pemandu di bahagian tengah.

Menurut ketua Spoon Sports USA/GO Tuning Aaron Wang, kedudukan pemandu yang dialihkan kebahagian tengah berkenaan dibuat bagi membolehkan roll cage baharu dipasang pada FD2R ini. Roll cage baharu tersebut dibina bukan sahaja untuk mempertingkatkan keselamatan, malah ia menyumbang kepada ketegaran kerangka yang lebih kuat seterusnya memberikan pengendalian yang lebih baik.

Tiada maklumat bagaimana ubahsuai berkenaan dilakukan. Namun agak jelas dalam video ini, tiada lagi panel tunnel pada bahagian lantai bagi membolehkan tempat duduk pemandu diletakkan. Kolum stereng pada bahagian tengah pula dihubungkan pada gear pinan rak stereng yang masih berada pada bahagian kanan kabin.

Spoon Civic Type-R ini masih dipandu oleh pelumba yang sama dari tahun lalu iaitu Dai Yoshihara – pemandu dari Jepun yang sudah pun menetap di Amerika dan juga bekas juara kejohanan drift Formula D. Menurut Yoshihara, memandu sebuah kenderaan dengan kedudukan pemandu di bahagian tengah bukan masalah baginya kerana beliau tidak bermasalah untuk memandu kereta di bahagian kiri mahupun kanan. Tetapi, dengan kerangka badan kereta yang kini lebih tegar, menjadikan perubahan paling besar ialah terhadap karekter pemanduan kereta ini.

Boss Spoon Sports, Tatsuru Ichisama juga hadir dari Jepun ke perlumbaan berkenaan. “Kami sentiasa mencabar diri kami untuk menjadikan kereta ini lebih laju, untuk membolehkan kereta ini berlumba lebih lama. Saya rasa cabaran yang diambil oleh Dai dan GO Tuning terhadap jentera Time Attack baharu ini adalah sesuatu yang revolusioner. Inovasi seperti ini tidak terus diterjemahkan kepada kelajuan, tetapi ia akan menjadi asas yang kukuh untuk pembangunan akan datang,” jelas beliau.

“Untuk membina kereta yang laju, kuasa adalah satu perkara, tetapi perkara yang paling penting untuk dicapai adalah pengendalian yang terbaik. Jika anda memandu hanya pada laluan lurus, kuasa adalah segalanya. Tetapi pada litar seperti ini, pengendalian, brek dan keseimbangan casis menjadi titik penentu. Mengalihkan pemandu ke bahagian tengah adalah logik, tetapi saya pasti mereka semua berkongsi ‘sakit kepala’ yang sama,” tambah Ichisima-san lagi.

Walau bagaimanapun atas masalah teknikal yang melanda pasukan berkenaan tahun ini, jentera tersebut hanya mampu mencatatkan masa 1 minit 45.8 saat, 0.3 saat lebih perlahan dari tahun lalu. Tetapi, ia masih lagi mampu untuk mencapai kedudukan ketiga terpantas dalam kelasnya, 2 saat di belakang pendahulu perlumbaan.

Tiada perincian berkenaan kemaskini ubahsuai terbaharu terhadap sistem mekanikal lain kereta ini. Namun mengikut spesifikasi tahun lalu, Civic FD2R ini masih menggunakan enjin DOHC i-VTEC 2.0 liter K20A yang diberikan pelbagai komponen dalaman dari Spoon, omboh dan rod penghubung dari 5Zigen, spring-spring injap dari TODA serta suapan pengecas turbo T04S HKS.

Talaan berkenaan memberikan kuasa keseluruhan 430 whp (wheel horse power – kuasa akhir yang diukur pada roda, bukan pada crankshaft), dialirkan ke kotak gear Spoon Sports, berserta peralatan transmisi lain seperti klac dan LSD, juga dari Spoon.

Kereta ini sebenarnya dibina di Jepun oleh 5Zigen untuk Spoon bagi mencatatkan rekod lap terpantas dilitar ikonik Tsukuba. Dengan talaan lebih dari 500 whp, rekod Civic ini dilitar berkenaan adalah 58.222 saat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required