Selain barisan kereta baru dan terpakai yang dipamer di ACE 2022, terdapat juga beberapa model unik dan klasik dan menarik lain yang turut dipamerkan di ruang legar di luar dewan utama SCCC, dengan sebahagian besarnya oleh Karrus Classics.

Nama ini bukanlah terlalu asing jika anda kerap mengikuti perkembangan yang kami bawakan di paultan.org. Dalam laporan berkaitan Karrus Classics sebelum ini, kami memaparkan tentang usaha mereka untuk membawakan semula unit-unti model Proton Satria GTi yang sinonim dengan era penghujung tahun-tahun 90an dan awal 2000an dulu yang kini menjadi begitu ikonik untuk jenama Proton.

Mereka membeli dan menghimpunkan, melakukan restorasi dan kemudian menjual semula unit-unti yang sangat nostalgia ini kepada mereka yang mungkin berminat di pasaran tempatan. Harganya? Dalam RM45,000, dengan ujian pemanduan sejauh 100 km turut dilakukan untuk memastikan tiada sebarang masalah kepada pemilik barunya.

Antara restorasi yang dilakukan termasuklah diberikan cat badan, bersama lampu-lampu, perapi-perapi dan emblem (jika perlu) baru. Ada unit yang mereka terima tidak datang dengan rim 16-inci standard Satria GTi, tetapi telah diberikan set rim baru keluar dari kotak, dan ada juga yang diberikan rim yang direstorasi dan nampak seperti baru. Dan untuk ACE 2022, satu unit kereta berkenaan ada dibawa dan dipamerkan untuk tatapan umum.

Selain Proton Satria GTi tersebut, ada sebuah lagi model klasik Proton yang turut dipamerkan di sini: Proton Putra DSR. Mereka juga melakukan perkara yang sama: restorasi menyeluruh untuk mengembalikan kegemilangan kereta terbabit. Antaranya dengan menanggalkan setiap komponen pada kerangka asas dan memeriksa bahagian yang mungkin terkesan akibat karat untuk dibaik pulih.

Setelah siap proses-proses membuang karat, badan Putra ini mula dicat semula dengan warna Royal Candy Blue dari Aikka. Seperti yang anda boleh lihat, warna biru istimewa ini berubah mengikut keadaan cahaya sekeliling, jadi untuk memastikan cat berkenaan disemburkan sekata pada setiap bahagian bukanlah perkara mudah.

Logo DSR di penutup but belakang pula, ia bukan pelekat, tetapi dihasilkan dengan teknik airbrush dalam masa yang sama ketika proses mengecat badan kereta ini dibuat. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Proton Putra DSR ini, rujuk dan baca di sini. Proton Putra ini boleh ditinjau dari depan hari ini dan esok di ACE 2022, di Setia City Convention Center (2022) dari 9 pagi hingga 7 malam.

Proton Putra DSR

Proton Satria GTi

Koleksi Karrus Classics di ACE 2022