Selepas Satria GTI, Satria R3 dan Wira 1.8 EXi DOHC ‘Tiang Gol’, pakar restorasi jentera-jentera legenda ‘C99’ Proton, Dream Street Restoration (DSR) baru-baru ini telah menghidangkan sebuah lagi jentera C99 yang telah dilahirkan semula, kali ini dalam badan Coupe dua-pintu iaitu Proton Putra.

Malah dalam projek terbaharu ini, DSR menunjukkan mereka bukan sahaja boleh merestorasi semula sesebuah kereta berkenaan dalam keadaan seperti baru keluar dari bilik pameran, tetapi mereka juga mampu untuk menghasilkan pelbagai perincian custom mengikut kehendak pelanggan.

Seperti yang boleh anda lihat pada Proton Putra yang menerima plat produksi istimewa DSR dengan nombor DSR-008-C99 ini, ia seolah-olah sebuah model edisi khas kelab bola sepak Tottenham Hotspur yang dikeluarkan oleh Proton sendiri! Kenapa Tottenham Hotspur? Sudah tentulah pemilik Putra ini adalah peminat tegar kelab bola sepak Inggeris berkenaan.

Menurut DSR, Putra ini telah dibeli oleh pemilik terkini pada penghujung tahun 2020 dalam keadaan standard. Sejurus dibeli, ia terus dihantar untuk dicat semula dengan warna Urban Green. Namun pada Mac 2021, pemilik berkenaan merasakan kereta ini perlu dihantar ke DSR untuk proses restorasi yang lebih menyeluruh.

Walau bagaimanapun, oleh kerana ketika itu DSR sedang dalam proses pemindahan ke lokasi baharu mereka (bersama rakan kerjasamanya bagi kerja-kerja pembaikkan dan warna badan, Sterling Automotive) di Sunway, kerja restorasi Putra DSR-008 ini hanya bermula pada bulan Mei. Kerja-kerja tersebut sekali lagi tertangguh apabila kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh pada Jun 2021.

Perkara pertama yang dilakukan oleh DSR dalam proses restorasi Putra ini adalah menanggalkan setiap komponen pada kerangka asas, dan ia diletakkan di atas sebuah pelantar mudah alih. Setelah ‘dibogelkan’, perkara pertama yang mendapat perhatian adalah pada bumbung – ‘penyakit’ biasa untuk Proton generasi ini adalah bahan silikon pengedap yang diaplikasikan antara tulang dengan bumbung berkenaan menyebabkan karat yang teruk.

Dari luar mungkin bumbung berkenaan masih nampak cantik, kerana bengkel yang mengecat Putra berkenaan sebelum ini telah membaiki bumbung tersebut, tetapi dengan cara tidak betul – ia hanya ‘ditampal’ dengan gentian kaca, bersama alas kadbod dibawahnya.

DSR mengambil keputusan untuk membuka terus kepingan bumbung yang telah dirosakkan berkenaan, dan menggantinya dengan bumbung Mirage Asti terpakai yang diperolehi dari Jepun. Walau bagaimanapun, kepingan bumbung yang diterima tersebut juga bukanlah dalam keadaan sempurna.

Mirage Asti di Jepun juga menggunakan bahan silikon yang sama pada bumbung. Oleh itu setiap cat dan sisa silikon berkenaan telah dibuang, dan bumbung tersebut telah dirawat dengan bahan yang mematikan karat. Perkara yang sama turut dibuat pada tulang-tulang bumbung, sebelum kepingan bumbung berkenaan disambung semula pada badan menggunakan kimpalan MIG, iaitu proses kimpalan yang sama digunakan di kilang.

Setelah siap proses-proses membuang karat, badan Putra ini mula dicat semula. Bagi menyesuaikan dengan konsep Tottenham Hotspur, pemilik Putra ini memilih warna Royal Candy Blue dari Aikka. Seperti yang anda boleh lihat, warna biru istimewa ini berubah mengikut keadaan cahaya sekeliling, jadi untuk memastikan cat berkenaan diberikan sekata pada setiap bahagian bukanlah perkara yang mudah.

Dan seperti biasa logo DSR yang anda lihat pada penutup but belakang, ia bukan pelekat, tetapi dihasilkan dengan teknik airbrush dalam masa yang sama ketika proses mengecat badan kereta ini dibuat. Grafik logo Tottenham Hotspur pula dilekatkan pada bahagian bawah lampu signal sisi kiri bagi melengkapkan konsepnya. Satu lagi perincian baharu tampil pada Putra ini, perhatikan dalam lampu hadapannya – ia kini turut diberikan logo DSR pada sebelah dalam!

DSR turut telah menyembur pelindung anti karat berwarna hitam pada bahagian bawah Putra ini. Setiap bol dan nat bawah casis berkenaan telah ditukar baharu dengan sebahagian daripadanya telah disadur dengan kadmium, malah keseluruhan paip ekzos juga telah menerima lapisan pelindung haba tinggi 600 darjah selsius.

Untuk talaan casis dan suspensi, seperti biasa semua jentera restorasi DSR menerima sentuhan bekas jurutera suspensi Proton R3, Faidzil Alang yang kini mengendalikan jenama suspensinya sendiri iaitu Fawster Motorsport. Bukan hanya kesemua komponen suspensi Putra ini dibina semula oleh Fawster, malah ia kini dilengkapi dengan Direct Active Link dari Satria GTi yang dibina oleh Lotus.

Bagi enjin, juga seperti hasil-hasil DSR sebelum ini, ia masih menggunakan unit 4G93P 1.8 liter DOHC asal, dibina semula secara blueprint oleh SS Motorsport Garage yang berpengalaman menghasilkan enjin-enjin bagi tujuan perlumbaan sebenar.

Tiada sebarangan pemadanan komponen prestasi tinggi dipadankan, namun proses blueprint ini menyaksikan kesemua komponen dalaman enjin dirombak rawat, aci engkol diimbang semula, kemudian ia pasang kembali dengan lebih teliti dari proses pemasangan produksi massa di kilang dan melibatkan toleransi paling maksimum.

Secara teori, tiada penambahan kuasa dapat dihasilkan dengan cara ini. Namun proses berkenaan akan memberikan lebih senyuman kepada pemandu kerana ia menjadikan enjin lebih stabil dengan respon yang diberikan jauh lebih baik dari asal.

Satu perkara lagi yang berbeza pada Putra ini dari projek restorasi sebelum ini adalah enjin 4G93P berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan konvensional dan bukan lima-kelajuan manual.

Namun ini bukan bermaksud transmisi tersebut tidak perlu diberi perhatian, malah pihak DSR turut telah melakukan proses rombak rawat kotak gear tersebut dengan menukar semua pengedap minyak, set klac dan juga torque converter di dalamnya, manakala perumah utama transmisi berkenaan telah dibersihkan dengan proses sandblast untuk kelihatan seperti baru keluar kilang.

Komponen-komponen sokongan luaran enjin dan transmisi pada Putra ini juga telah diberikan nafas baharu. Pam hidraulik dan dan juga alternator misalnya, kedua-dua komponen ini juga telah direstorasi untuk menjadikan ia seperti baharu. Anda boleh tengok sendiri ruang enjin Putra ini, memang kesemua komponen bracket, skru dan nat telah disalut semula dengan kadmium seakan baru keluar kedai.

Jika kereta-kereta DSR sebelum ini tampil dengan tema ruang enjin merah-hitam, Putra kali ini berbeza atas permintaan pemiliknya. Ia turut perlu disesuaikan dengan tema luaran dan oleh itu cam valley cover aluminium Proton DSR dan juga pemegang bateri aluminium turut menerima warna biru.

Untuk brek, tiada ubahsuai dibuat tetapi ia telah direstorasi semula dengan rombak rawat dibuat pada semua angkup dan pemadanan set cakera baharu.

Kali ini juga DSR tidak memadankan set rim original kilang pada Putra ini, tetapi ia dipadankan dengan set rim dari Advanti berdiameter 16-inci. Kejap, rim ni macam pernah nampak kan? Ia sebenarnya adalah set rim S895 yang sama dibekalkan oleh Advanti kepada Proton Satria R3 Lotus Racing. Jadi walaupun ia bukan rim asli kilang untuk Putra, ia masih komponen OEM yang sama pernah dibekalkan kepada Proton dan R3.

Beralih pada kabin, ia juga tidak terlepas dari tema Tottenham Hotspurs dengan warna biru-hitam. Kesemua fabrik tempat duduk telah dibalut semula dengan tema warna tersebut dengan serlahan benang biru, manakala pada perehat kepala kedua-dua kerusi Recaro N-Joy di hadapan menerima sulaman logo kelab bola sepak tersebut.

Fabrik pada panel pintu turut diberikan warna biru yang sama, bersama kesemua tali pinggang keledar yang turut diberikan warna biru. Bagi melengkapkan tema ini, pelapik bumbung turut dibuat baharu dengan fabrik berwarna hitam, bersama panel-panel tiang dan juga pelindung matahari yang turut telah dihitamkan.

Papan pemuka Putra ini masih nampak standard, namun jika anda lihat dengan teliti, ada perubahan yang telah dibuat pada panel meter – tema hitam-oren asal telah digantikan dengan warna putih-biru, dan ia turut disertakan dengan logo DSR pada takometer serta logo ‘Putra’ pada meter kelajuan, dan kesemuanya akan bernyala ketika lampu dihidupkan.

Roda stereng Momo Daytona masih dikekalkan, manakala perincian-perincian yang dihasilkan oleh DSR sendiri seperti karpet kaki dan juga set pedal aloi turut dipadankan.

Setakat ini, semua variasi model C99 Proton sudah direstorasi oleh DSR, dan setiap contoh tersebut telah kami paparkan. Apa pula projek DSR selepas ini? Kami diberitahu oleh DSR bahawa masih ada lagi kejutan yang mereka akan bawakan. Apa dia? Jangan lupa teruskan bersama kami!

Dream Street Restoration telah ditubuhkan tahun lalu oleh antara individu penting yang pernah menguruskan Proton R3, Suriya Sankaran bersama anak lelakinya, Dharveen Suria. Lebih maklumat berkenaan DSR boleh anda baca pada PAUTAN INI.

GALERI: Proses restorasi Proton Putra DSR-008-C99