Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

Tular dua-tiga hari kebelakangan ini berkenaan satu pengedar kereta terpakai yang mempunyai stok Proton Satria GTi dengan jumlah yang banyak untuk dijual. Dan ramai yang dah tahu bahawa kesemua Satria GTi ini dijual pada harga rata iaitu RM45,000 setiap satu.

Namun dengan rasa teruja yang meluap-meluap melihat sejumlah lapan unit Satria GTi dengan rupa stok kilang dikumpulkan sekali, dan kelihatan seperti bilik pameran USPD pada lewat 90’an, kami melawat sendiri bilik pameran pengedar berkenaan iaitu Karrus Automotive yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Seperti juga pengedar kereta import persendirian yang lain, perniagaan utama Karrus Automotive adalah membawa kereta-kereta sports dan mewah dari luar negara dengan AP. Tetapi dengan minat yang mendalam terhadap model-model ikonik dan bersejarah, syarikat tersebut telah menubuhkan divisi khas Karrus Classic bagi membawa model-model klasik dan moden klasik tak kira JDM, British Classic atau dari ceruk dunia mana sekalipun, selagi ia boleh di bawa masuk ke Malaysia menggunakan AP kereta klasik.

Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

Dan Satria GTi ini antara projek Karrus Automotive buat masa sekarang. Menurut syarikat tersebut, Satria GTi mempunyai satu tempat istimewa dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Model ini dihasilkan oleh Proton bagi menunjukkan bahawa mereka adalah pemilik kepada Lotus ketika itu, dan membuktikan teknologi jenama kereta sport dari British berkenaan boleh disuntik pada model-model Proton bagi menjadikan ia sebuah kereta prestasi yang seronok dipandu.

“GTi sangat bermakna untuk kebanyakkan peminat kereta di Malaysia, dan kami gembira kerana dapat merestorasi kereta-kereta ini dan ‘pulangkannya’ kembali ke tangan peminat-peminat sekali lagi. Peminat-peminat model ini mungkin 20 tahun lalu tidak mampu memilikinya, tetapi sekarang mereka boleh merealisasikan semula impian masa muda mereka. Ini adalah objektif kami,” kata Karrus Classis.

Projek untuk mengumpulkan sejumlah besar Satria GTi ini bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Ia bermula dengan satu unit yang diperolehi dalam Selangor, dan ketika usaha mendapatkan alat-alat ganti bagi merestorasi kereta tersebut, maklumat berkenaan unit-unit lain yang hendak dijual turut mereka perolehi.

Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

Memang banyak Satria GTi yang boleh kita lihat untuk dijual dalam pasaran kereta terpakai. Namun sama seperti Honda Civic Type R EK9 mahupun Integra Type R DC2, nak jumpa unit yang masih ‘dara’ tanpa sebarang ubahsuai adalah perkara yang sukar – bukan sahaja enjin mahupun suspensi yang telah ditukar, kebanyakkannya paling kurang pun rim mesti sudah bukan standard.

Karrus Classic agak cerewet ketika mendapat kereta-kereta ini, dan unit-unit yang dibeli dari pelbagai negeri seperti Johor, Kelantan dan Pulau Pinang tersebut mestilah hampir standard. Setelah diperolehi, ia direstorasi semula oleh Karrus sebelum dijual kembali kepada pelanggan.

Secara asasnya, kesemua Satria GTi yang diperolehi oleh Karrus ini akan menerima cat badan baharu, bersama lampu-lampu, perapi-perapi dan emblem (jika perlu) juga baharu. Ada unit yang mereka terima tidak datang dengan rim 16-inci standard Satria GTi, tetapi telah diberikan set rim baharu keluar dari kotak, dan ada juga diberikan rim yang direstorasi seperti baharu. Kesemua unit Satria GTi ini juga telah diberikan satu set tayar baharu Toyo Proxes TR1 bersaiz 205/45R16.

Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

Sistem-sistem mekanikal dalam setiap unit Satria GTi ini juga telah diperiksa, disemak semula, dan segala komponen yang perlu diservis atau diperbaiki telah dibuat sebaiknya. Setiap enjin kereta-kereta ini juga telah dibuat ujian tekanan silinder bagi memastikan komponen-komponen dalaman berada dalam keadaan ‘sihat’.

Malah Karrus turut membuat ujian jalan raya sejauh 100 km pada setiap Satria GTi berkenaan bagi memastikan ia tidak akan menimbulkan masalah kepada pemilik baharu kelak.

Manakala untuk bahagian dalaman, komponen-komponen dalam kabin telah dibersihkan semula. Jika upholsteri tempat duduk Recaro Enjoy pada Satria GTi ini sudah terlalu teruk, ia akan dibalut semula. Karpet-karpet kaki digantikan dengan karpet baharu asli Satria GTi, dan mana-mana bahagian yang kurang akan dilengkapkan semula.

Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

Malah ada unit yang masih kekal mempunyai pemain audio asli 2-Din Satria GTi dari Clarion yang masih berfungsi! Kesemua kereta ini juga diberikan kunci yang dibekalkan dengan unit kawalan jauh asli Proton dengan perumah baharu.

Jadi walaupun kesemua kereta ini dijual pada harga RM45,000, keadaan bagi setiap unit kereta adalah berbeza. Oleh itu sekiranya anda mahu membeli unit Satria GTi yang tersedia ini, sebaik-baiknya datang sendiri ke bilik pameran Karrus Classic yang terletak di No. 6, Jalan Pendaftar U1/54, Temasya Industrial Park, Glenmarie, Shah Alam ini.

Kalau tak pasti dengan apa-apa perkara, anda boleh hubungi En.Syazwan, pengurus jualan dan operasi Karrus Private Garage di talian 03-55699606, atau lawati akaun Instagram dan Facebook Karrus Classic.

Jika dah sampai ke bilik pameran Karrus ini, jangan lepaskan peluang untuk lawat sekali koleksi kereta klasik moden di garaj Karrus tersebut, yang tampil dengan kondisi muzium! Dan jika anda mahukan maklumat, nasihat atau apa sahaja berkenaan untuk mengimport kereta-kereta begini, anda boleh hubungi Maikel di talian 1700 81 1911 yang kini mengetuai Karrus Classic.

Sekiranya anda membeli mana-mana unit Satria GTi yang dijual oleh Karrus Classis ini, anda turut akan menerima satu fail yang bukan sahaja diisi dengan geran, malah segala rekod-rekod pembaikan, penukaran alat ganti dan lain-lain yang telah dibuat oleh Karrus. Gambar-gambar tolok tekanan ketika ujian tekanan yang dibuat pada setiap silinder enjin juga disertakan dalam fail berkenaan.

Dalam hantaran yang tular baru-baru ini ada yang mendakwa bahawa walaupun Satria GTi dijual pada harga RM45,000, ia hanya dilindungi insuran dengan nilai RM5,000 sahaja. Karrus Classic menyatakan bahawa mereka boleh membantu pelanggan mendapatkan insuran dengan perlindungan lebih tinggi, setara dengan harga belian kereta berkenaan jika pelanggan mahu, dan sudah tentu bayaran premium lebih tinggi juga diperlukan.

Insuran yang dimaksudkan adalah insuran di bawah skim insuran kereta klasik. “Syarikat insuran akan membuat semakan latar belakang terhadap sejarah tuntutan insuran pemohon. Namun mereka hanya akan menerima permohonan untuk kereta dengan kondisi terbaik seperti yang kami ada. Permohonan untuk kereta yang telah diubahsuai tidak akan diluluskan,” jelas Karrus Classic.

Jadi berbaloi ke untuk sebuah Proton lama dibeli dengan harga RM45,000? Unit-unit yang dijual oleh Karrus Classic ini sudah tentu tidak sesempurna unit-unit Satria GTi mahupun model-model C99 lain yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR). Namun dengan harga lebih rendah, anda dapat menikmati sebuah Satria GTi dengan rupa luaran seperti kereta baharu, dan disahkan tiada apa-apa isu berkenaan mekanikal atau sistem-sistem lain.

Seronok bila tengok makin ramai yang menghargai semula kereta-kereta lagenda yang dihasilkan oleh Proton ini seperti model-model ikonik JDM bukan? Jadi bagi mereka yang menyimpan hasrat untuk membeli Satria GTi masa sekolah menengah atau ketika di universiti dulu dan masih belum dapat sehingga kini, unit-unit yang disediakan oleh Karrus Classic ini antara opsyen yang boleh anda timbangkan untuk “membeli kembali masa muda” anda yang tidak kesampaian dahulu!

GALERI: Koleksi kereta-kereta klasik moden lain di Karrus Private Garage

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required