Subaru Rex 2023 didedah di Jepun – kembar Perodua Ativa, bermula RM59k, tiada enjin turbo, hanya 1.2L NA

Subaru Rex 2023 didedah di Jepun – kembar Perodua Ativa, bermula RM59k, tiada enjin turbo, hanya 1.2L NA

Subaru telahpun mendedahkan model generasi baharu untuk Rex di Jepun, dan ia kini bukan lagi hatchback kei-car seperti model-model generasi sebelum ini. Malah Subaru Rex ini juga jelas merupakan model rebadge dari Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa!

Tidak seperti Raize dan Ativa yang muncul dengan muka dan perincian lain yang lebih tersendiri, Rex merupakan model yang di’fotostat’ hampir keseluruhannya dari Daihatsu Rocky. Pada sebelah luar, Rex menerima lampu hadapan LED, bampar hadapan dan belakang, lampu belakang dan set rim yang diambil terus dari Rocky.

Ia cuma dibezakan sedikit dengan elemen gril hadapan dengan rekaan seperti Subaru Forester, lencana ‘REX’ pada pintu tailgate belakang, dan semua emblem logo ‘D’ Daihatsu diganti dengan emblem ‘Pleiades Star’ Subaru.

Di Jepun, Rex generasi baharu ini ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan model asas G dijual pada harga 1.82 juta yen (RM59k) dan juga model tertinggi Z dijual pada harga 2.171 juta yen (RM71k). Kedua-dua varian berkenaan hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin petrol WA-VE 1.2 liter tiga-silinder tanpa turbo berkuasa 87 PS dan tork maksima 113 Nm bersama kotak gear CVT automatik pacuan roda hadapan.

Pilihan tersebut dilihat sangat terhad berbanding Raize dan Rocky kerana selain enjin 1.2L NA, kembarnya dengan logo Toyota dan Daihatsu berkenaan turut menerima pilihan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS/tork 140 Nm, dan pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda. Sementara Perodua Ativa di Malaysia hanya menerima enjin 1.0L turbo tanpa pilihan enjin 1.2L NA.

Bergantung pada varian, Subaru Rex JDM ini tampil dengan rim 16- atau 17-inci, lampu hadapan LED, lampu kabus LED, brek parkir manual atau elektronik, roda stereng urethane atau balutan kulit, paparan instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta upholsteri fabrik dengan jalur serlahan merah.

Kembar Daihatsu Rocky (atas kiri), Subaru Rex (atas kanan), Toyota Raize (bawah kiri) dan Perodua Ativa (bawah kanan)

Subaru Rex ini juga menerima sistem bantuan pemanduan Smart Assist, dan ia tidak menjenamakan semula sistem berkenaan sebagai sistem Subaru EyeSight. Sistem tersebut memberikan fungsi sama seperti kembar-kembarnya yang lain termasuk pemantau titik buta, brek kecemasan automatik, pengenal papan tanda trafik, bantuan lampu tinggi, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, amaran keluar jalan, amaran lintasan trafik belakang serta pemantau pandangan panaromik. Sistem bantuan parkir pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

Ketika memperkenalkan Subaru Rex 2023 ini, Subaru berterus terang bahawa ia adalah model OEM yang dibekalkan oleh Daihatsu dan mensasarkan jualan sebanyak 150 unit sebulan di Jepun. Ini bukan kali pertama Subaru menyertai barisan kembar Toyota-Daihatsu-Perodua. Sebelum ini Subaru pernah menghasilkan hatchback Subaru Justy generasi keempat pasaran Eropah yang merupakan kembar kepada Daihatsu Boon-Toyota Passo-Perodua Myvi generasi pertama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required