PT Toyota Astra Motor (TAM) kini secara rasminya telah pun mula menjual model paling sporty untuk Toyota Hilux di Indonesia iaitu Hilux GR-Sport yang sebelum ini dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang berlangsung pada bulan lalu.
Model ini bukan sahaja tampil dengan rupa yang lebih agresif, malah ia kini merupakan Hilux paling berkuasa yang ditawarkan di Indonesia. Pada bahagian luaran, trak pikap dengan lencana GR-Sport ini menerima gril hadapan tanpa logo Toyota, tetapi digantikan dengan skrip ‘Toyota’ seperti Land Cruiser GR Sport baharu.
Skid plate hadapan juga kini menerima kemasan-hitam warna badan, manakala lampu kabus pula LED menerima perumah lebih besar dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan sports bar belakang berwarna hitam, rim aloi 18-inci kemasan hitam dan juga logo-logo GR diletakkan pada bahagian hadapan, sisi, dan belakang. Secara ringkasnya, Hilux GR-Sport pasaran Indonesia ini adalah seiras dengan Hilux GR-Sport versi High Rider pasaran Thailand.
Begitu juga bahagian dalaman, Hilux GR-Sport di Indonesia ini kelihatan sama dengan model pasaran Thai, menampilkan perincian seperti roda stereng balutan kulit dengan penanda pukul 12 berwarna merah, panel-panel kemasan kelabu gelap, pedal aloi, uphosteri kulit-sued hitam dengan sulaman logo GR, butang penghidup enjin dengan logo GR, serta paparan meter dengan skrin pemula juga berlogo GR.
Perincian lain yang turut diberikan termasuk lampu hadapan LED, bampar belakang dengan Tailgate Assist, skrin sesentuh utama bersaiz 8-inci, pemantau pandangan panaromik, dan juga sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense bersama bantuan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.
Toyota Hilux GR-Sport ini dijana oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm. Model ini hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan pedal penukar gear, digandingkan dengan sistem 4WD bersama unit differential lock pada gandar belakang.
Untuk kita di Malaysia tiada apa yang istimewa berkenaan enjin tersebut sudah pun berada pada model 2.8L Rouge di sini dengan angka kuasa yang sama. Namun di Indonesia, enjin tersebut membuatkan Hilux GR-Sport ini sebagai Hilux paling berkuasa yang ditawarkan kerana varian lain hanya diberikan enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter berkuasa 150 PS/400 Nm dan hanya hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Tiada sebarang perubahan pada sistem suspensi diumumkan, dan ia masih dipadankan dengan cakera brek 16-inci di hadapan bersama dram di belakang. Namun Hilux GR-Sport ini diberikan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR.
Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Toyota Hilux GR-Sport ini iaitu Platinum White Pearl Mica dan Emotional Red. Ia dijual pada harga 731.4 juta rupiah (RM206k) – sebagai perbandingan, model 2.4L MT dalam varian paling tinggi dijual pada harga 464 juta rupiah (RM131k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.