Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV dengan bunyi V8 palsu bagi model produksi akan datang

Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV dengan bunyi V8 palsu bagi model produksi akan datang

Kereta elektrik (EV) sememangnya sangat laju, memberikan pecutan yang tidak masuk akal. Ini kerana motor elektrik bukan sahaja membekalkan tork yang cukup besar, malah tork tersebut tersedia sejak dari 0 rpm tidak seperti enjin pembakaran dalaman yang memerlukan ia berputar pada tahap rpm tertentu bagi mendapatkan tork maksima.

Namun apa yang membuatkan EV bosan untuk dipandu adalah kerana ia tidak mempunyai sifat mekanikal yang menghubungkan pemandu dengan kereta seperti bunyi, getaran dan rasa tukaran gear. Bagi mengatasi masalah ini, Toyota kini mengesahkan bahawa ia sedang membangunkan kotak gear manual palsu untuk EV, dan ia bukan sekadar konsep kerana sistem berkenaan disasarkan untuk dipadankan pada kereta-kereta sport EV Lexus pada masa hadapan!

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Jurutera Lexus Electrified, Takashi Watanabe ketika berlangsungnya forum media Kenshiki yang dianjurkan oleh Toyota di Brussels, Belgium. Menurut Watanabe, sistem yang dibangunkan ini adalah cukup lengkap seperti kotak gear manual sebenar menampilkan tuil penukar gear dan juga pedal klac.

Malah Watanabe turut menyatakan bahawa anda mungkin boleh membuatkan “enjin mati” sekiranya pedal klac tidak dilepaskan dengan betul seperti benar-benar menggunakan enjin pembakaran dalaman dan juga kotak gear manual.

Sistem berkenaan kini sedang diuji pada SUV EV Lexus UX 300e, dan dalam video yang ditunjukkan oleh Watanabe sistem berkenaan turut menampilkan bunyi sama ada enjin empat-silinder sebaris atau enjin V8 yang boleh dipilih oleh pemandu. Malah ia juga turut diberikan meter rpm palsu bagi memberikan perasaan seperti memandu sebuah kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman sebenar.

Ketua jurutera berkenaan turut menyatakan bahawa kereta sport EV dengan kotak gear manual ini kelak turut akan menerima teknologi sistem pacuan semua roda dengan torque vectoring Direct4, sistem stereng-dengan-wayar One Motion Grip dan juga sistem Brake-by-Wire. Beliau menyifatkan dengan tiga sistem ini bersama kotak gear manual berasaskan perisian, ia “bakal memberikan peluang baharu untuk talaan penyesuaian prestasi yang berbeza untuk setiap pemandu.”

Toyota masih belum memberikan garis masa atau menyatakan model mana yang bakal menerima sistem ini. Namun ada kemungkinan ia akan muncul pada model produksi kereta sport yang berada di belakang Watanabe ketika membuat pembentangan ini iaitu Lexus Electrified Sport.

Model konsep Electrified Sport tersebut sebelum ini telah didedahkan oleh presiden Toyota, Akio Toyoda pada Disember tahun lalu ketika mengumumkan halatuju Toyota untuk segmen EV. Model tersebut didakwa mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2 saat dan dijangka bakal muncul sebagai model ‘halo’ untuk Lexus bagi menggantikan tempat Lexus LFA sebelum ini.

“Saya tak boleh beritahu bila kami akan melancarkan model produksi berasaskan (model konsep) Electrified Sport. Tetapi saya boleh sahkan kami sedang membangunkannya. Ini bukan sekadar rekaan konsep. Ia benar-benar akan menjadi kenyataan,” kata Watanabe dalam pembentangan tersebut.

GALERI: Model konsep Lexus Electrified Sport

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required