Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi telahpun melancarkan SUV ‘Coupe’ elektrik penuh (EV) Volvo C40 ke pasaran tempatan. Seperti yang diumumkan sebelum ini, C40 merupakan model EV kedua Volvo yang dipasang secara tempatan (CKD) di fasilitinya di Shah Alam, dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM288,888.

C40 merupakan kembar kepada model CKD EV pertama Volvo di Malaysia iaitu XC40 Recharge Pure Electric yang telah dilancarkan pada April lalu. XC40 sudahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada bulan lalu, kini dijual pada harga RM287,888 dalam varian kemasan tunggal Ultimate.

Untuk C40, ia masih berkongsi muka hadapan yang sama dengan XC40 facelift. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai ke belakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

Dengan menggunakan platform CMA yang sama, C40 turut berkongsi unit rangkaian kuasa P8 AWD serupa dengan XC40 Recharge Pure Electric. Sistem tersebut terdiri dari dua motor elektrik, setiap satunya diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi mewujudkan pacuan semua roda.

Pada XC40 Recharge sistem berkenaan menghasilkan 408 PS dan tork 660 Nm bermula dari 0 rpm – angka yang sama pada Polestar 2. Ini membolehkan SUV Coupe tersebut memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.7 saat. Namun menerusi polisi terbaharu Volvo, kelajuan maksima hanya dihadkan pada 180 km/j.

Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

Ia turut berkongsi sistem bekalan elektrik yang sama seperti XC40, iaitu pek bateri lithium-ion 78 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 450 km dengan satu caj penuh mengikut kitaran WLTP.

Volvo C40 ini boleh di caj semula menerusi pengecaj AC dengan penghubung Type 2, mengambil masa sekitar 7.5 jam menggunakan palam tiga-fasa 11 kW. Sistem pengecaj cepat turut diberikan menerusi palam 150 kW DC menggunakan penghubung CCS, membolehkan bateri diisi dari 0 hingga 80% dalam masa hanya 28 minit.

Pada bahagian kabin, pengayaan C40 ini dilihat hampir sama seperti XC40 Recharge. Model ini merupakan model pertama Volvo tanpa sebarang bahan kulit, ditawarkan dengan material sintetik berteknologi tinggi dengan kualiti sama seperti kulit asli. Untuk model pasaran Malaysia ini C40 diberikan upholsteri teksil Charcoal Connect Suede dan Microtech dalam kemasan Charcoal.

Sistem infotainmen pada C40 ini juga sama seperti XC40 Recharge, menampilkan skrin berasaskan Android yang memberikan akses penuh kepada pelbagai servis Google dan aplikasi dari Google Play Store, termasuk ciri bina dalam seperti Google Maps dan Google Assistant. Model ini hadir dengan bekalan data internet, serta menyokong sistem sokongan kemaskini perisian over-the-air (OTA).

Antara perincian lain yang turut dipadankan pada Volvo C40 ini termasuk, rim 19-inci kemasan Black Diamond Cut, skrin sentuh sembilan-inci, kluster instrumen digital 12-inci, sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan 13-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, kawalan pendingin dwi-zon dengan corong belakang dan kerusi depan larasan kuasa elektrik.

Perincian keselamatan dan bantuan pemanduan yang diberikan pula termasuk sistem City Safety (penghindaran perlanggaran dengan sokongan persimpangan; pengesan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar), amaran perlanggaran depan dan belakang, Driver Alert Control, bantuan mengekalkan lorong, Run-Off Road Mitigation dengan Road Edge Detection, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Steer Assist dan Cross Traffic Alert (CTA) dengan Autobrake.

Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Crystal White, Black Stone, Fjord Blue, Thunder Gray dan Sage Green. Pembelian SUV elektrik ini adalah lengkap dengan kabel pengecaj.

Ia menerima perlindungan waranti termasuk waranti utama untuk kereta selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta waranti khas untuk bateri lithium-ion selama 8-tahun atau 160,000 km (yang mana sampai dulu). VCM juga memberikan bantuan tepi jalan Volvo on Call selama lima-tahun, servis selepas jualan Volvo Service Included (VSI) selama 5 tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dulu) serta Digital Service selama empat tahun.

Selain boleh dibeli secara konvensional di bilik pameran, VCM turut melancarkan platform jualan atas talian yang yang mula boleh digunakan pada pukul 8 malam ini. Ia merupakan platform lengkap yang membolehkan pelanggan turut membuat bayaran di atas talian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required