TuneBoss telahpun membuat pengenalan awal bagi produk quickshifter mandiri ShiftBoss untuk kegunaan motosikal silinder tunggal atau dua-silinder di pasaran Malaysia. Sebagai quickfshiter sehala ke atas sahaja, ShiftBoss dijual pada harga RM399 bagi model motosikal silinder tunggal, dan RM599 bagi versi dua-silinder.
Sebagai produk plug-and-play yang mudah dipasang, ShiftBoss memanfaatkan sensor tanpa sentuhan yang dipasang pada tuil penukar, memberikan isyarat kepada modul kawalan. Modul berkenaan kemudiannya menghantar isyarat kepada modul penghidup untuk mematikan ignition ketika menaikkan gear.
Produk ini boleh dipasang untuk semua motosikal berklac tanpa sebarang modifikasi. “Dengan sensor tanpa sentuhan ini, peranti ini menjadi lebih boleh diharap kerana tertutup sepenuhnya. Dan tiada bahagian yang akan haus disebabkan geseran dan sebagainya,” jelas CEO FSR Technology, Farhan Ali, yang juga pereka dan pengeluar ECU Tuneboss dan Shiftless sebagai produk Malaysia 100%.
Sistem pendakap modular membolehkan pemasangan ShiftBoss ke atas pelbagai jenis motosikal dan tidak memerlukan sambungan kepada TuneBoss motorcycle ECU, tidak seperti ShiftBoss 2.0, atau ECU motosikal lainnya. Ini termasuklah untuk motosikal FZ150i, Y15ZR, Y16, MT15, R15, R25, Honda RS150 and CBR150 dan SYM VF3i.
Produk ini juga boleh dipasang untuk Yamaha MT-07, Suzuki Raider R150, GSX-S150 dan R150, SV650, V-Strom 650, KTM RC690, Duke 390, Modenas Pulsar 200 dan Kawasaki Versys. Dan, jika anda ada motosikal yang disenaraikan ini serta berminat untuk ikut serta sebagai penguji cuba produk berkenaan, hubungi FSR Technology atau pengedar sah mereka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.