Selepas menerima sebanyak 1,500 tempahan BYD Atto 3 dalam bulan pertama pelancarannya, dengan 1,000 tempahan tersebut diperoleh dalam tempoh 10 hari pertama, Sime Darby Motors melalui cabang BYD SD Motors Malaysia dilaporkan sedang giat meningkatkan jualan SUV elektrik itu dengan sasaran 3,000 unit setahun. Dan menurut RHB Investment Bank, sasaran itu tidak sukar dicapai.
Dalam nota kajiannya, bank tersebut memaklumkan tidak sukar untuk Sime Darby Motors untuk mencapai angka tersebut. “Sasaran Sime Darby Motors untuk menjual 3,000 unit Atto 3 setahun kami rasakan itu tidak sukar untuk dicapai, melihat kepada permintaan EV di Malaysia ketika ini.
Selain itu, petunjuk kepada pemasangan tempatan bagi SUV EV itu juga belum kelihatan akan berlaku dalam masa terdekat. Pengeluar China itu telah mendedahkan bakal melabur sebanyak RM500 juta di negara ini, tetapi itu adalah untuk pembangunan rangkaian bilik pameran, dan belum pernah menyebut tentang kilang pemasangan tempatan setakat ini.
“Dengan adanya pengecualian duti import dan duti eksais bagi EV CBU ketika ini, BYD tiada insentif untuk memasang keretanya di sini. Dengan pembukaan kilang komponen BYD di Vietnam dan kilang pemasangannya di Thailand akan datang, kami fikir syarikat itu hanya akan mempertimbangkan pemasangan di sini, sekiranya ada kadar permintaan yang tinggi di rantau ASEAN,” jelas nota berkenaan.
Bank pelaburan itu juga menyatakan yang Sime Darby Motors akan memperkenalkan lebih banyak model BYD di Malaysia tahun ini, mengukuhkan lagi apa yang pernah dimaklumkan sebelum ini. Antara model yang dijangka tiba ialah hatchback Dolphin EA1, sedan Seal dan MPV e6 untuk 2023.
Ketika pelancaran Atto 3 tahun lalu, dimaklumkan yang Dolphin dan Seal dijangka tiba pada suku keempat tahun ini, sementara e6 pula pernah diberitahu akan tiba paling awal pada September tahun lalu. Kedua-dua Dolphin dan Seal juga telah dipertontonkan ketika pelancaran Atto 3.


BYD Atto 3
dari RM125,800
BYD Seal 6
dari RM100,000
BYD Seal
dari RM171,800
BYD Atto 2
dari RM100,000
BYD Sealion 7
dari RM183,800
BYD M6
dari RM109,800
BYD Dolphin
dari RM100,530