BYD Atto 3 dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lalu, dalam dua varian: Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).
Varian SR dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insuran. Di sini, kami sediakan galeri terperinci bagi varian Extended Range yang lebih tinggi itu.
Kedua varian berkenaan menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi itu, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa hanya 45 minit.
BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.
Ia juga hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.
Lihat dengan lebih terperinci varian Extended Range ini melalui galeri di bawah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.