Axia merupakan model paling asas Perodua yang menawarkan harga paling mampu milik menggantikan Kancil dan Viva sebelum ini. Ia dihasilkan bagi membolehkan mereka yang memiliki motorsikal beralih ke kereta. Jadi apabila Perodua Axia D74A 2023 diperkenalkan dengan perincian lebih baik serta harga yang lebih mahal, ada yang mendakwa ia “bukan lagi Axia”.
Namun angka telah membuktikan segalanya – selepas tempahan untuk Axia 2023 ini dibuka pada 31 Januari lalu, Perodua telah menerima sebanyak 3,591 tempahan hanya dalam masa lebih seminggu. Dan ketika sesi prebiu untuk media yang dibuat Rabu lalu, presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan bahawa dari jumlah berkenaan, majoriti pelanggan yang menempah memilih dua varian tertinggi Axia iaitu SE dan AV.
Malah Zainal turut menyatakan tempahan berkenaan adalah selaras dengan jangkaan syarikatnya bahawa jualan untuk varian SE dan AV ini akan lebih tinggi dari dua varian lebih rendah iaitu X dan G.
Perodua Axia D74A ini diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan saiz yang lebih besar serta diberikan perincian-perincian yang jauh lebih canggih termasuk kotak gear D-CVT, menyebabkan ia perlu dijual lebih mahal iaitu bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV.
Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190.
Terdahulu Zainal turut menyatakan hampir semua pelanggan yang menempah Perodua Axia generasi pertama tetapi tidak dapat menerima unit mereka kerana produksi model berkenaan telah ditamatkan hujung bulan lalu telah menukar tempahan mereka untuk model generasi kedua ini, walaupun harganya lebih tinggi.
Kami telah berpeluang untuk membuat pandu uji ringkas terhadap Perodua Axia D74A 2023 ini. Apa yang berbeza antara varian-varian berkenaan? Bagaimana prestasinya? Anda perlu baca laporan yang telah disediakan pada PAUTAN INI.
GALERI: Perodua Axia 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.