Harga Perodua Axia D74A 2023 yang lebih tinggi dari model generasi pertama masih menjadi bualan hangat di media-media sosial. Ini kerana Axia merupakan model paling mampu milik yang dihasilkan oleh Perodua dan menjadi ‘harapan’ bagi mereka yang memiliki motosikal untuk bertukar ke mod pengangkutan lebih selesa dan selamat seperti Viva dan juga Kancil sebelum ini.
Namun menurut CEO dan Presiden Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, syarikatnya buat masa sekarang bukanlah pengeluar yang menghasilkan model-model yang ‘murah’ semata-mata tanpa memikirkan spesfikasi untuk pelanggan, tetapi model-model Perodua lebih disifatkan sebagai ‘bernilai’ atau ‘berbaloi’ untuk dimiliki.
Menurutnya, terma yang paling sesuai untuk model-model yang dijual oleh Perodua adalah “kereta dengan kos yang dioptimakan”.
“Maknanya kita cuba untuk memberikan lebih nilai, kita cuba untuk memberikan spesifikasi yang terkini, tetapi pada harga yang berpatutan.
“Apa yang kita nak adalah, kita bukan hanya menyediakan mobiliti (semata-mata). Tapi kita menyediakan mobiliti dengan keselesaan, dengan kesenangan, semua perincian yang diberikan, supaya rata-rata rakyat Malaysia dapat menikmati teknologi terkini dan juga untuk memenuhi keperluan mobiliti,” kata Zainal dalam sidang media ketika majlis prebiu Perodua Axia 2023 Rabu lalu.
Model generasi baharu Axia ini dijual pada harga bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV. Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190.
Walau bagaimanapun ia sesuai dengan spessifikasi yang diberikan kerana Axia D74A diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama seperti tiga dua model terkini Perodua iaitu Ativa dan Alza, malah Toyota Vios generasi baharu juga menggunakan platform modular tesebut.
Platform berkenaan bukan sahaja membolehkan Axia 2023 ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sebelumnya, malah turut memberikan pemanduan dan keselesaan lebih baik.
Kesemua varian Axia generasi baharu ini juga menerima kotak gear D-CVT yang sama seperti Ativa, Alza dan Myvi facelift bagi menggantikan kotak gear automatik konvensional 4AT pada model sebelum ini.
Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelumnya. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.
Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.
Kami telah berpeluang untuk membuat pandu uji ringkas terhadap Perodua Axia D74A 2023 ini. Apa yang berbeza antara varian-varian berkenaan? Bagaimana prestasinya? Anda perlu baca laporan yang telah disediakan pada PAUTAN INI.
GALERI: Perodua Axia 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.