Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

Selepas Thailand dan Laos, kini Toyota Vios generasi keempat secara rasmi sudah pun dilancarkan di Indonesia. Tidak seperti pasaran Thai yang hanya menerima enjin 3NR-VE Dual VVT-iE 1.2L (dikenali sebagai Yaris Ativ) dan Laos hanya dengan enjin 1NR-VE 1.3L, Vios 2022 di Indonesia ini diberikan enjin paling berkuasa 1.5L.

PT Toyota Astra Motor (TAM) menawarkan Vios dalam tiga varian untuk pasaran Indonesia. Ia dimulai dengan model asas Vios 1.5 E M/T dijual pada harga Rp 314,900,000 (RM96k), diikuti varian pertengahan Vios 1.5 G CVT dijual pada harga Rp 355,200,000 (RM108k), manakala varian tertinggi Vios 1.5 G CVT TSS pula dijual pada harga Rp 368,400,000 (RM112k).

Enjin Dual VVT-i empat-silinder berkenaan dikenali dengan kod 2NR-VE, merupakan enjin yang sama boleh ditemui pada perut Perodua Alza 2022 dan juga Perodua Myvi facelift 2022, menghasilkan kuasa 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Angka-angka tersebut adalah seiras dengan kuasa yang ditala pada Alza, serta 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi.

Jadi Vios generasi baharu ini nampaknya menerima enjin yang 1 PS dan 2 Nm kurang berkuasa dari model generasi sebelumnya yang dilengkapi enjin 2NR-FE Dual VVT-i, menghasilkan kuasa lebih besar 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Di Indonesia, Vios masih ditawarkan dalam versi kotak gear manual lima kelajuan, manakala model dengan transmisi automatik diberikan kotak gear CVT.

Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

Seperti yang diketahui sebelum ini, Toyota Vios generasi baharu berkenaan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa dan Alza 2022, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013. Model pasaran Indonesia ini menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,410 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm.

Oleh itu, ia adalah 15 mm lebih pendek berbanding spesifikasi yang diumumkan dari Yaris Ativ di Thailand – mungkin ada sedikit kelainan pada ukuran bampar hadapan atau belakang.

Jadi berbanding model sebelumnya, Vios generasi baharu menampilkan panjang keseluruhan yang hampir sama, tetapi 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya pula adalah 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

Namun jika dilihat pada gambar, model pasaran Indonesia ini dilihat agak sama dengan Yaris Ativ di Thailand. Muka Vios baharu ini dilihat seperti Corolla Altis dalam skala lebih kecil, dengan menampilkan rekaan lampu LED hadapan bersama jalur LED nyalaan siang bina dalam dan gril atas yang hampir sama. Namun Vios diberikan gril bampar yang lebih tinggi bersama sepasang liang udara sisi unik dengan rekaan lima segi.

Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

Manakala pada profil sisi, Vios generasi keempat ini jelas menggunakan rekaan garis bumbung yang sama seperti model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang muncul pada 2017, menampilkan rupa seakan sebuah fastback empat pintu. Cermin sisi untuk model ini masih kekal diletakkan pada bahagian cermin tingkap dan bukan pada pintu. Ia juga diberikan garis badan sisi yang dilihat bersambung dari lampu hadapan melalui pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang.

Bahagian belakang Vios ini diberikan lampu dengan rekaan nipis dan bersegi, dan menampilkan lampu isyarat membelok LED jenis sequential untuk varian G CVT dan G TSS CVT. Dengan garis bumbung yang direka seakan fastback, penutup but pada model generasi baharu ini juga dilihat lebih pendek dan sporty, namun ia direka lebih tinggi bagi memberikan ruang kargo yang besar.

Perumah nombor pendaftaran kekal diletak pada bahagian atas, manakala bampar model generasi baharu ini menerima liang udara palsu sisi yang seiras dengan bahagian hadapan, serta diberikan diffuser pada bahagian bawah.

Model asas E diberikan rim aloi dua tona bersaiz 16-inci bersama brek dram di belakang, manakala model G CVT dan G TSS CVT pula menerima rim dua tona dengan diameter 17-inci dengan brek cakera di belakang.

Toyota Vios 2023 dilancar di Indonesia – bermula RM96k, enjin sama dengan Myvi, platform DNGA

Lima warna badan ditawarkan pada Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia ini termasuk Platinum White Pearl, Attitude Black, Metal Stream Metallic, Grey Metallic, dan Red Mica Metallic.

Pada bahagian dalaman, model pasaran Indonesia ini masih menampilkan kelengkapan dengan rupa yang sama, namun ia tidak ditawarkan dengan kemasan dua tona hitam-merah seperti di Thailand.

Vios kini menerima papan pemuka dengan rekaan yang sangat minimalis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz sembilan-inci dengan hubungan kepada telefon pintar untuk semua varian di bahagian tengah, serta diberikan banyak material sentuhan lembut dan juga perapi-perapi kemasan perak yang nampak premium.

Secara keseluruhan, papan pemuka baharu ini menampilkan rekaan dengan elemen melintang, termasuk rekaan untuk liang pendingin hawa. Ia juga diberikan pad pada sebelah kanan konsol tengah, bagi ‘mengasingkan’ pemandu untuk rupa kokpit yang tertumpu kepada pemandu.

Menerusi spesifikasi yang didedahkan, hanya model G CVT dan G TSS CVT sahaja yang menampilkan larasan stereng atas-bawah dan teleskopik serta brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Brake Hold.

Jika anda perhati dengan teliti, sedan dengan platform DNGA ini menerima roda stereng, paparan instrumen digital tujuh-inci (untuk varian G CVT dan G TSS CVT) dan tombol gear yang seiras dengan Perodua Alza dan Ativa. Malah rekaan elemen quilted pada perapi-perapi pada konsol gear Vios ini juga nampak seiras seperti elemen kemasan dalaman pada Ativa.

Untuk keselamatan, kesemua varian Vios 2022 pasaran Indonesia ini menerima sistem brek ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki dan juga Traction Control. Hanya varian tertinggi Vios G TSS hadir dengan enam-beg udara serta pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS).

Pakej tersebut memberikan fungsi termasuk sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, cruise control adaptif untuk semua kelajuan, kawalan salah operasi pedal dan lampu tinggi automatik – kesemuanya kelihatan sepadan dengan sistem ASA 3.0 yang ditawarkan pada Perodua Alza 2022.

TAM juga menawarkan sistem terhubung secara langsung T inTouch untu varian G dan G TSS. Sistem ini menampilkan fungsi seperti penjejak kenderaan dan juga geofencing untuk memberitahu bahawa kereta berkenaan berada di luar zon yang dibenarkan pemilik, serta perkhidmatan terhubung lain seperti pengingat servis, bantuan tepi jalan dan juga pertolongan terus dari pusat panggilan Toyota sekiranya apa-apa pertolongan diperlukan.

Selepas ini, Toyota Vios generasi keempat ini sudah tentu akan dilancarkan di Malaysia pula. Namun kami jangkakan ia mungkin tiba di sini paling awal pun tahun hadapan kerana UMW Toyota pastinya perlu menyediakan barisan produksinya terlebih dahulu untuk menghasilkan Vios tersebut dalam versi CKD, bagi memastikan ia dapat dijual pada harga kompetitf untuk bersaing dengan Honda City.

Bagi kuasa enjin, jelas Vios masih lagi bukan tandingan City. Namun apa pendapat anda? Ada perincian lain yang anda rasa Vios ini jauh lebih menyengat dari City?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required