Antara perubahan utama untuk Perodua Axia D74A 2023 adalah penggunaan transmisi Dual Mode CVT (D-CVT), yang menggantikan transmisi automatik empat-kelajuan sebelum ini. D-CVT pertama kali digunakan untuk Ativa, dan selepas itu turut dimanfaatkan oleh Myvi dan Alza. Boleh baca lanjut tentangnya di sini.
Walaupun transmisi baru untuk Axia, enjin yang digunakan pula masih sama: 1KR-VE 1.0 liter NA tiga-silinder petrol, yang menjana sebanyak 67 hp dan 91 Nm tork. Dengan gandingan ini, penggunaan minyak bertambah baik — Perodua mendakwa varian G dan X boleh mencapai 25.3 km/l, sementara SE dan AV boleh memberikan 27.4 km/l dengan bantuan ciri Eco Idle.
Angka berkenaan adalah mengikut Malaysian Driving Cycle (MDC), yang mengikut keadaan pemanduan tempatan. Dengan kitaran NEDC, ia berikan 23.3 km/l, dan ini juga masih lebih baik berbanding Axia sebelum ini dengan 21.6 km/l.
Peralihan kepada D-CVT ini juga memberi perubahan kepada jadual penyelenggaraan Axia, jadi dalam artikel ini, kami meneliti kos yang terlibat. Ringkasnya, Axia 2023 kini lebih murah untuk diselenggara dalam tempoh lima-tahun atau 100,000 km, dengan jumlah keseluruhan yang terlibat RM2,779.95 — ini RM81.35 lebih murah berbanding Axia 4AT sebelum ini.
Jika pergi lebih terperinci, kedua-dua versi Axia dengan D-CVT/4AT ini berkongsi penukaran alatan penyelenggaraan yang sama, jadi tiada perubahan untuk harga alatan yg terlibat. Enjin yang kekal sama ini juga masih memerlukan penukaran lima palam pencucuh dan dua penapis udara bagi tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, D-CVT memerlukan penukaran minyaknya hanya sekali pada takat lima-tahun/100,000 km, kurang satu daripada 4AT — harga untuk ini juga lebih murah. Tetapi, Axia 2023 memerlukan penukaran penapis kabin yang lebih kerap — lima kali bagi tempoh lima tahun berbanding hanya tiga kali sebelum ini.
Perodua tidak menyenaraikan barangan untuk Pro Care bagi Axia 2023, yang ditawarkan untuk model lama Axia. Servis berkenaa, yang ditawarkan sebagai pilihan, termasuklah penukaran tambahan bagi bendalir brek dan penapis udara; jajaran, imbangan dan pusingan tayar; serta satu servis menyeluruh untuk sistem pendingin. Dengan semua servis ini, sejumlah RM659 ditambah untuk bil keseluruhan Axia lama sepanjang lima tahun, untuk mencecah harga RM3,520.30.
Seperti biasa, ada lagi kos lain selain daripada penyelenggaraan berjadual di pusat servis. Memandangkan Axia 2023 menggunakan saiz rim yang sama, kos penukaran tayar juga tidak akan berbeza jauh, bergantung kepada jenama dan jenis tayar yang dipilih.
Ini juga sama untuk brek, dengan kedua-dua versi Axia masih kekal dengan brek cakera di depan dan brek dram di belakang. Satu aspek yang mungkin Axia 2023 akan memberi lebih penjimatan ialah kos bahan api, yang tentunya akan lebih rendah kerana ia menggunakan kurang minyak berbanding model lama disebabkan D-CVT itu; walaupun ini masih bergantung kepada cara pemanduan masing-masing.
Untuk harga, Axia 2023 lebih mahal berbanding model lamanya, dengan julat harga antara RM38,600 hingga RM49,500. Sementara Axia facelift 2019 sebelum ini bermula dari RM24,090, walaupun itu sebenarnya untuk model manual paling asas Standard E (yang selalu terima jolokan kereta sekolah memandu).
Varian paling rendah ini tidak dilengkapi kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman, yang ketika itu turut tidak diberikan untuk satu varian lebih atas, Standard G (RM33,490). Pelanggan yang mahukan ciri keselamtan ini perlu memilih GXtra (RM34,990) ke atas. Axia 2019 paling tinggi dijual pada harga RM43,190 untuk varian Advance.
Harga jualan yang lebih tinggi bagi Axia 2023 juga akan membezakan kos insuran, yang akan jadi lebih tinggi kerana nilai kenderaan juga naik. Ini akan memberi kesan kepada pembeli kereta pertama kali yang akan bermula dengan 0% NCD, walaupun peratusan itu akan naik pada tahun-tahun kedepan.
Inilah maklumat kos penyelenggaraan bagi Axia 2023 dengan D-CVT yang lebih murah berbanding model lamanya dengan 4AT, bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km. Jika dibandingkan dnegan perbezaan kos selenggara melibatkan Myvi, Ativa, Alza dan Aruz, Axia 2023 ini yang paling murah kosnya, walaupun ketika dibandingkan dengan Bezza 2020 dengan enjin 1.0 liter yang sama dan 4AT.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.