Proton X90 – bahagian kabin dan luaran unit prototaip dilihat lebih terperinci; sedikit berbeza dari Haoyue

Proton X90 – bahagian kabin dan luaran unit prototaip dilihat lebih terperinci; sedikit berbeza dari Haoyue

Sudah banyak kali SUV tuju-tempat duduk Proton iaitu X90 dilihat diuji di atas jalan raya awam, namun untuk set gambar yang dikirim oleh pembaca paultan.org, Kamweng Woon kali ini agak istimewa kerana dai turut berjaya mendapatkan sebahagian gambar kabin model berkenaan.

Nampaknya X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan kembarnya di China (Geely Haoyue) dan di Filipina (Geely Okavango) tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Ia menampilkan skrin infotaimen berdiri sendiri bersaiz besar pada bahagian tengah, bersama liang penghawa dingin empat segi dihubungkan dengan panel kemasan yang merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut.

Panel instrument SUV ini tidak dapat dilihat, namun ia dijangka menggunakan panel digital yang sama seperti Haotue/Okavango. Konsol terowong juga dilihat sama, hadir dengan tombol gear segi empat yang kelihatan seiras dengan Geely Haoyue versi kemaskini untuk tahun 2020.

Turut dapat dilihat butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan pada konsol terowong tersebut.

Disebabkan unit ujian ini sedang diparkir, kini gril hadapannya dapat dilihat lebih jelas – direka dengan elemen pin krom seperti Mercedes-Benz, berbanding kembarnya dari Geely yang menerima gril dengan rekaan jail bar. Anda juga boleh lihat trade plate hadapan pada unit ujian ini ditebuk dengan bentuk empat segi, dipercayai untuk penderia yang membolehkan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan hadapan dan cruise control adaptif berfungsi.

Perincian ini tidak diberikan pada Okavango di Filipina, tetapi hadir pada Geely Haoyue di China namun dengan penderia yang diletakkan pada bahagian lebih rendah iaitu pada gril bawah pada bahagian bampar. Selain itu X90 ini disahkan menerima lampu hadapan LED dan juga rim aloi 18-inci dengan tayar 225/55R18.

Dalam laporan sebelum ini ada disebut bahawa X90 sah akan menerima enjin petrol 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan sistem hibrid ringkas (MHEV) 48-volt yang akan menghasilkan kuasa lebih besar dari X50 dan X70 iaitu 190 PS dengan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan 7DCT.

Proton menamakan unit rangkaian kuasa hibrid pertama dalam sejarahnya berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG), dan ia telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang.

Ia adalah unit rangkaian kuasa yang sama digunakan oleh Geely Okavango di Filipina, berbeza dengan penawaran Geely Haoyue di China yang menerima enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 MC2 varian paling tinggi.

GALERI: Geely Haoyue 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required