Proton tayang enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG – bakal diguna pada SUV 7-tempat duduk X90?

Proton tayang enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG – bakal diguna pada SUV 7-tempat duduk X90?

Proton baru sahaja melancarkan Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

Apa yang menarik, Proton turut mempamerkan enjin 1.5 liter Turbo GDi yang dilengkapi dengan sistem hibrid ringkas, bersama dua lagi enjin yang telah pun digunakan pada model produksi sedia ada iaitu 1.8 liter T-GDi (Proton X70) dan 1.5L T-GDi (Proton X50).

Menurut informasi yang ditulis oleh Proton pada iPAD yang disediakan pada ruang pameran tersebut, unit rangkaian kuasa hibrid berkenaan menampilkan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) yang digandingkan dengan enjin pembakaran dalaman 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDi).

BSG ini merupakan satu motor elektrik kecil yang bukan sahaja bertugas untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri sistem hibrid dan boleh memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

Proton tayang enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG – bakal diguna pada SUV 7-tempat duduk X90?

Bagi sistem yang ditunjukkan oleh Proton ini, ia mungkin beroperasi dengan asas seni bina elektrikal 48-volt bersama bateri lithium-ion. Buat masa sekarang, sistem yang sama telah pun digunakan pada model-model produksi Geely seperti Geely Azkarra (kembar X70) dan Okavango (atau Haoyue di China) pasaran Filipina. Geely Icon di China juga menerima sistem yang sama.

Pada model-model tersebut, unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi BSG tersebut menghasilkan kuasa 190 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,500 rpm sehingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

Namun dalam maklumat pada iPAD yang disediakan oleh Proton tersebut menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi BSG yang bakal mereka gunakan ini hanya menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L tiga-silinder TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang.

Agaknya model mana yang akan menerima unit rangkaian kuasa pertama Proton ini? Baru-baru ini, CEO Proton Edar, Roslan Abdullah ada menyatakan Proton telah memulakan rancangannya untuk memperkenalkan model-model dengan teknologi elektrifikasi termasuk hibrid, PHEV dan juga elektrik penuh (EV). Namun disebabkan pelbagai lagi masalah yang perlu di atasi seperti kekurangan fasiliti mengecas yang masih kurang dalam negara, Proton mungkin akan memperkenalkan model hibrid terlebih dahulu.

Malah, baru-baru ini juga dilihat sedang rancak menguji Geely Okavango/Haoyue yang dikatakan akan dihasilkan sebagai SUV tujuh-tempat duduk, Proton X90 – ini mungkin model pertama Proton yang akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan.

Untuk pengetahuan anda juga, kembar Okavango di China iaitu Haoyue masih hanya ditawarkan dengan enjin 1.8L TGDi yang sama dengan X70. Tak mustahil juga Proton akan menawarkan unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi BSG ini kepada X70 kerana konfigurasi yang sama telah diberikan pada Azkarra.

Apa pun, kita tunggu dan lihat sahajalah perkembangan ini. Jadi jangan lupa untuk ikuti kami secara rapat bagi mengetahui laporan-laporan terbaharu berkenaan perkara ini. Anda pula bagaimana? Mana satu model yang anda rasa patut terima sistem hibrid ini terlebih dahulu?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required