Ini bukan kali pertama SUV tujuh-tempat duduk yang berasaskan Geely Haoyue atau Okavango kelihatan sedang diuji di jalan raya di Malaysia ini. Lokasi terbaharu ia dilihat ialah di Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menuju ke Subang, dengan menggunakan trade plates Proton (yang sebelum ini pernah dipakai oleh model ujian Geely Binyue, yang kemudiannya dikenali sebagai X50).

Walau pun unit ujian ini atau pun mungkin bakal dinamakan sebagai Proton X90, ditutupi balutan penyamaran, namun sifatnya masih boleh kelihatan termasuk cermin sisi yang dipasang di pintu, rel bumbung ala terapung dan garisan badannya yang cukup jelas mirip Hauyue. Tetapi jika dilihat dari pandangan belakang, tailgate yang ditampilkan sedikit berbeza dengan model Geely, dan plat nombornya pula telah dipindahkan dari bampar belakang ke tailgate.

Ia bagai memberikan bayangan bahawa Proton mahu melakukan sedikit perubahan rekaan signifikan untuk X90 ini, walau pun banyak sifat lain masih kelihatan mirip dengan Hauyue.

Haoyue dilancarkan di China pada Jun tahun lalu, dan ia kini merupakan SUV paling besar dalam barisan model Geely, ‘Abang Long’ kepada Boyue (X70) dan juga Binyue (X50). Ia dihasilkan dengan panjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,784 mm dan jarak roda sejauh 2,815 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, berbanding Proton X70, Haoyue adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar, 91 mm lebih tinggi dan jarak roda 145 mm lebih jauh.

Dengan saiz yang besar ini, Haoyue ditawarkan dalam versi lima- dan tujuh-tempat duduk di China. Kesemua tempat duduk belakang boleh dilipat dengan rata, bagi memberikan ruang kargo sebesar 2,370 liter.

Di China, Haoyue dijana oleh enjin 1.8L empat silinder turbo berkuasa 181 PS/300 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Ia hadir dalam versi pacuan hadapan dan juga pacuan semua roda.

Namun untuk Okavango di Filipina, SUV ini dijana oleh enjin 1.5L tiga-silinder turbo bersama sistem hibrid ringkas 48-volt bagi menghasilkan 190 hp/300 Nm. Versi ini turut digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan, tetapi tiada pilihan sistem AWD. Harganya bermula dari 1,208,000 pesos (RM102,000) hingga 1,328,000 pesos (RM112,100).

Buat setakat ini, Proton masih mengunci mulut berhubung dengan model baharu yang bakal diperkenalkan. Tetapi jika benar Proton X90 ini bakal hadir ke pasaran tempatan, adakah anda akan mempertimbangkan untuk memilikinya? Dan adakan ia boleh mengulangi sejarah ‘laku keras’ seperti mana yang dicipta oleh adik-adiknya iaitu X70 dan X50?