Sebagai sebuah negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri, Filipina dengan mudah menerima pelbagai model Geely yang diimport terus dari China – bermula dengan model Binyue yang dinamakan semula sebagai Coolray pada tahun lalu, dan kini mereka akan menerima Boyue Pro yang akan dijual menggunakan nama Geely Azkarra.

Model tersebut akan dilancarkan pada 30 Mei ini dalam satu majlis atas talian yang akan dibuat kerana pandemik Covid-19 yang sedang melanda. Sebelum itu, Geely Filipina sudah pun mengumumkan bahawa Azkarra akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Luxury.

Menurut portal AutoIndustriya.com, model asas Premium akan dijual pada harga 1.438 juta peso (RM123,500) manakala model tertinggi Luxury pula dijual pada harga 1.598 juta peso (RM137,200). Walau bagaimanapun, kedua-dua varian ini hanya akan digerakkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter turbo tiga-silinder yang menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

Ia digandingkan dengan sistem hibrid ringkas Electri Motor Synergy (EMS) Geely 48-volt membolehkan SUV ini menerima kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm. Model Premium akan menerima kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan dari Aisin bagi memacu hanya roda hadapan, manakala model Luxury pula datang dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda.

Dari segi rupa, Azkarra menerima keseluruhan penampilan Boyue Pro, iaitu versi lebih sporty Geely Boyue dan Proton X70 pasaran Malaysia. Ia menerima lampu hadapan LED yang lebih nipis, gril “expanding cosmos” lebih besar, rekaan bampar hadapan dan belakang lebih tersendiri, lampu belakang dengan rekaan disentuh semula dan juga diberikan bar krom merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang.

Dalam kabin, Azkarra dan Boyue Pro menampilkan papan pemuka yang berbeza sepenuhnya dengan rekaan yang lebih bersegi. Model pasaran Filipina ini juga akan menerima sistem infotainmen terkini Geely Key User Interface (GKUI), GKUI 19 yang dilengkapi skrin utama bersaiz 12.3-inci.

Antara kelengkapan standard lain yang turut diberikan untuk kedua-dua varian di Filipina ini termasuk rim 18-inci, pendingin hawa dua-zon, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu kawalan berkuasa, kamera 360-darjah, penderia parkir hadapan dan belakang, lapan pembesar suara dan juga pintu tailgate berkuasa.

Manakala untuk model tertinggi Luxury, ia akan menerima berberapa perincian tambahan seperti upholsteri kulit Nappa dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Penuras udara kabin dengan gred N95 yang sudah pun ditawarkan pada model-model Geely di China serta Proton X70 di Malaysia akan terus dipasang standard untuk Azkarra ini.

Untuk sistem keselamatan pula, kedua-dua varian Geely Azkarra pasaran Filipina ini hadir standard dengan enam-beg udara, sistem brek ABS dan EBD lengkap dengan BA, kawalan kestabilan elekronik, bantuan mula mendaki serta kawalan menurun bukit. Namun sistem lebih canggih seperti pada Proton X70 termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan lampu tinggi automatik tidak diberikan pada Azkarra ini.

GALERI: Geely Boyue Pro pasaran China