Selepas imej teaser dan beberapa perincian awal didedahkan pada April tahun lalu, Mitsubishi kini menyiarkan satu lagi imej teaser untuk model hatchback kompak Colt generasi baharu dan mengumumkan bahawa ia bakal membuat kemunculan di Eropah pada 8 Jun ini.
Seperti yang disebut-sebut sebelum ini, Colt generasi baharu pasaran Eropah berkenaan bukan dibangunkan oleh Mitsubishi, tetapi ia adalah model rebadge dari Renault Clio. Ini adalah antara strategi Mitsubishi untuk bertapak semula dengan lebih baik di Eropah selepas berada dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi sejak 2016.
Dalam teaser terbaharu yang disiarkan, Mitsubishi mendedahkan sebahagian kecil belakang Colt 2023 berkenaan, menampilkan lampu belakang yang seiras dengan Clio. Apa yang berbeza, tiada lagi logo Renault dan skrip “Clio” di tengah pintu hatch dan digantikan dengan skrip “Mitsubishi” bersama tulisan “Colt” pada bucu bawah pintu berkenaan.
Menerusi teaser yang disiarkan tahun lalu, bayangan badan Colt ini menampilkan bentuk yang sama dengan Renault Clio termasuk pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ untuk kelihatan seperti model tiga-pintu. Apa yang berbeza adalah pada bahagian hadapan yang diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi, tampil dengan elemen krom berbentuk-X pada gril hadapan dan bersambung dengan ‘kening’ yang mungkin adalah jalur lampu nyalaan siang di atas lampu hadapan utama.
Ia turut diberikan emblem ‘Hybrid EV’ pada pintu hadapan, yang menandakan ia mungkin berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Renault Clio E-Tech.
Clio E-Tech menerima enjin 1.6 liter NA yang digandingkan dengan unit starter-generator serta satu lagi motor elektrik lebih besar, bersama kotak gear tanpa klac pelbagai-mod. Sistem elektrikal untuk teknologi hibrid berkenaan beroperasi dengan seni bina elektrikal 230 V, bersama bateri berkapasitu 1.2 kWj, memberikan kuasa keseluruhan 140 hp.
Menurut Renault, sekiranya Clio E-Tech ini dipandu di kawasan bandar, 80% pemanduan boleh dibuat dengan hanya kuasa elektrik, membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 40% lebih jimat berbanding versi petrol sepenuhnya. Clio E-Tech ini juga boleh bergerak pada kelajuan 75 km/j dalam mod elektrik penuh.
Mitsubishi Colt ini diasaskan dari platform CMF-B yang bukan sahaja dikongsi oleh Clio, malah merupakan asas yang sama dengan satu lagi ahli pakatan berkenaan iaitu Nissan Micra. Ia juga tidak diproduksi oleh kilang Mitsubishi, sebaliknya akan dipasang di kilang Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi di Bursa, Turki.
Colt 2024 bukanlah produk rebadge Renault pertama dari Mitsubishi. September tahun lalu jenama tiga berlian berkenaan telahpun melancarkan SUV kompak ASX generasi baharu di Eropah, yang merupakan model rebadge dari Renault Captur.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.