Idea untuk menghasilkan model generasi baharu untuk Mitsubishi Colt/Mirage sudahpun disebut oleh jenama tiga-berlian berkenaan sejak 2017, selepas ia menjadi sebahagian anggota Pakatan Renault Nissan. Ia disebut bakal muncul pada 2019, namun tiada berita susulan mengenainya selepas itu.
Kali ini bukan lagi khabar angin mahupun cakap-cakap kosong – Mitsubishi secara rasmi telah mendedahkan imej teaser untuk Colt generasi baharu yang bakal muncul tidak lama lagi! Ia bakal membuat kemunculan sempena ulang tahun ke-60 Colt selepas model generasi pertama Colt 600 muncul pada tahun 1962.
Model tersebut juga telah disahkan akan menggunakan platform CMF-B yang sama dengan Renault Clio dan juga Nissan Micra, dan bakal diproduksi di fasiliti Pakatan berkenaan yang terletak di Bursa, Turki. Imej teaser tersebut menunjukkan bahawa Colt akan dihasilkan sebagai hatchback lima-pintu dengan bayangan badan yang hampir sama dengan Renault Clio termasuk pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ untuk kelihatan seperti model tiga-pintu.
Apa yang berbeza adalah pada bahagian hadapan yang diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi, tampil dengan elemen krom berbentuk-X pada gril hadapan dan bersambung dengan ‘kening’ yang mungkin adalah jalur lampu nyalaan siang di atas lampu hadapan utama. Ia turut diberikan emblem ‘Hybrid EV’ pada pintu hadapan, yang menandakan ia mungkin berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Renault Clio E-Tech.
Clio E-Tech menerima enjin 1.6 liter NA yang digandingkan dengan unit starter-generator serta satu lagi motor elektrik lebih besar, bersama kotak gear tanpa klac pelbagai-mod. Sistem elektrikal untuk teknologi hibrid berkenaan beroperasi dengan seni bina elektrikal 230 V, bersama bateri berkapasitu 1.2 kWj, memberikan kuasa keseluruhan 140 hp.
Menurut Renault, sekiranya Clio E-Tech ini dipandu di kawasan bandar, 80% pemanduan boleh dibuat dengan hanya kuasa elektrik, membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 40% lebih jimat berbanding versi petrol sepenuhnya. Clio E-Tech ini juga boleh bergerak pada kelajuan 75 km/j dalam mod elektrik penuh.
Januari lalu, Mitsubishi turut mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan SUV kompak ASX generasi baharu. Model berkenaan juga merupakan kembar kepada Renault Captur, iaitu versi SUV untuk Clio – juga menggunakan platform CMF-B yang sama.