Setelah menamatkan riwayat sedan segmen-C Lancer, dan Eclipse yang kini dijelmakan menjadi crossover digelar Eclipse Cross, Mitsubishi bakal memperkenalkan model generasi baharu bagi Mirage, dijangka pada tahun 2019.
Menurut laporan portal Jepun, Response, walau pun masih kekal dengan hatchback bajet, namun pengeluaran Mirage tetap diteruskan kerana masih mempunyai permintaan dalam pasaran global. Malah bagi generasi baharu ini, ia akan dijelmakan sebagai hatchback yang lebih sporty, memberikan persaingan terhadap Suzuki Swift.
Generasi baharu ini akan menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) versi Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, berkongsi dengan Nissan March baharu dan SUV Juke generasi akan datang. Response turut meramalkan imej yang lebih agresif bakal dipertaruhkan, dengan wajah “Dynamic Shield” olahan jenama ini, serta ‘meminjam’ gaya overfender Colt Ralliart dan juga wing belakang dari gaya Evo – mungkin juga lebih sporty dan menguja dari itu.
Gaya itu penting kerana enjinnya yang ditawarkan dijangka sederhana sahaja dengan penjana kuasa 0.9 liter pengecas turbo – sama seperti yang ditampilkan pada March baharu – yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 95 PS, sama seperti enjin 1.5 liter empat-silinder turbodiesel. Bukan itu sahaja, versi elektrik sepenuhnya khabarnya dalam perancangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.