Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengeluarkan senarai harga yang dikemaskini bagi Xpander dan Triton, menyaksikan peningkatan harga bagi kedua-dua model berkenaan untuk tahun ini.
Bermula dengan XPander, varian tunggal dengan enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder dan transmisi automatik empat-kelajuan kini berharga RM99,980 tanpa insurans. Ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM3,180 atau 3.29% berbanding angka sebelum ini yang kami dapat pada Julai tahun lalu selepas pengecualian cukai jualan berakhir.
Bagi Triton pula, harganya pernah meningkat pada April tahun lalu tetapi varian Quest terkecuali pada tika itu. Namun tahun ini, peningkatan harganya membabitkan kesemua variannya, dengan Quest kini berharga RM83,890, atau lebih RM2,500 berbanding sebelum ini. Manakala model VGT pula, versi MT kini berharga RM105,500 (+RM2,300), sementara AT pula naik RM2,000, kini RM109,990.
Seterusnya, Premium MT pula kini dijual pada harga RM118,700 (+RM2,500) dan Premium AT pula RM129,900 (+RM3,000). Akhir sekali, varian tertinggi Athlete menyaksikan peningkatan sebanyak RM3,300 dan kini berharga RM149,900. Manakala versi terhad Phantom Plus Edition yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu kini tidak lagi tersenarai dalam laman web MMM, mungkin 1,000 unit yang ditawarkan telah habis dijual.
Kami juga telah melakukan semakan dengan MMM dan dimaklumkan bahawa tiada perubahan dilakukan terhadap spesifikasi kenderaan. Malah MMM turut berkata semakan harga ini disebabkan “peningkatan kos” yang membabitkan kenaikan harga material dan logistik. Triton merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand, manakala XDpander pula merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.