Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

Selepas muncul buat pertama kali di Indonesia pada 2018, kini model generasi kedua Honda Brio diperkenalkan pula dalam versi facelift, dan ia turut membuat kemunculan sulung globalnya di republik berkenaan. Brio facelift 2023 ini diberikan beberapa penggayaan baharu dan juga tingkat taraf kecil pada perinciannya.

Lima varian Brio facelift ditawarkan di Indonesia bermula dari varian paling asas Brio Satya S MT berharga Rp 165,900,000 (RM50k), varian pertengahan Brio Satya E MT berharga Rp 180,600,000 (RM55k) dan Brio Satya E CVT berharga Rp 191,900,000 (RM58k), serta versi paling sporty Brio RS MT berharga Rp 233,900,000 (RM71k) dan Brio RS CVT berharga Rp 243,900,000 (RM74k).

Pada bahagian luaran, penyegaran yang dibuat melibatkan pemadanan lampu hadapan baharu menampilkan, jalur krom pada bahagian atas gril hadapan yang nampak seperti menghubungkan lampu nyalaan siang yang dialih dari bahagian bawah ke bahagian ‘kening’.

Gril berkenaan kini turut bersaiz lebih besar dengan bahagian bawah yang dilabuhkan – model-model Satya menerima elemen gril sarang lebah, manakala model RS datang dengan elemen pin hitam berkilat. Jadi gril bawah kini lebih kecil dan bersambung dengan liang udara sisi/perumah lampu kabus yang direka seperti sayap.

Tiada perubahan besar dilihat pada profil sisi. Begitu juga di belakang di mana ia masih nampak sama dengan model sebelum ini, kecuali pada lampu yang kini sedikit digelapkan serta bahagian kemasan diffuser bawah bampar diberikan rekaan berbeza untuk varian RS.

Untuk pecahan perincian bahagian luaran mengikut varian, model asas Brio Satya S diberikan lampu hadapan halogen dengan rim besi 14-inci. Varian Brio Satya E pula diberi penambahan lampu hadapan halogen dengan lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin belakang dan juga rim aloi 14-inci kemasan dua tona.

Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

Manakala bagi Brio RS, ia diberikan lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED, cermin sisi lipatan elektrik dalam kemasan hitam berkilat bersama lampu isyarat membelok, rim aloi 15-inci dalam kemasan hitam berkilat, serta emblem RS pada gril dan pintu hatch belakang.

Dalam kabin, sebahagian besar rupa Brio sebelumnya terus dibawa ke versi facelift ini termasuk rekaan papan pemuka, roda stereng dan lain-lain. Perubahan-perubahan kecil yang boleh dilihat adalah corak rekaan pada panel-panel kemasan dan tempat duduk.

Brio Satya S diberikan kelengkapan standard seperti pemain audio 2DIN dengan hubungan Bluetooh dan AUX, dua-pembesar suara, sistem pendingin hawa manual dengan suis kawalan digital, serta tempat duduk hadapan dengan perehat kepala yang tidak boleh dilaras.

Tingkap kuasa juga adalah perincian standard, dan buat pertama kali bahagian pemandu menerima sistem turun/naik auto dengan fungsi keselamatan anti-pinch. Brio Satya E pula menerima tambahan butang audio pada roda stereng dan juga sistem penggera bersama fungsi kunci automatik berdasarkan kelajuan.

Manakala pada Brio RS, ia hadir dengan skrin LCD paparan pelbagai informasi pada papan meter, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, sokongan Android Auto dan Apple Carplay (untuk model CVT sahaja), tambahan tweeter untuk pembesar suara, tempat duduk hadapan dengan perehat kepala boleh dilaras, serta serlahan-serlahan merah.

Buat pertama kali juga Brio menerima sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin menerusi varian Brio RS pada model facelift 2023 ini.

Tiada perubahan pada aspek mekanikal di mana Brio masih dijana oleh enjin paling berkuasa dalam kelasnya iaitu unit 1.2 liter i-VTEC yang menghasilkan 90 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 110 Nm pada takat 4,800 rpm. Kuasa disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan.

Seperti yang anda boleh lihat pada pilihan varian, Brio Satya S hanya datang dengan pilihan transmisi manual, manakala varian pertengahan Satya E dan versi paling sporty Brio RS boleh dipilih dalam versi CVT dan manual.

Bagi perincian keselamatan pula, semua varian Brio facelift 2023 ini dilengkapi sistem brek ABS dan EBD serta hanya dua beg udara. Tiada sebarang sistem ADAS ditawarkan, malah semua varian masih tidak disertakan dengan sistem kestabilan elektronik.

Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

PT Honda Prospect Motor menawarkan dua pilihan warna badan baharu iaitu Stellar Diamond Pearl untuk Brio RS dan Meteoroid Gray Metallic untuk semua varian. Pilihan warna badan lain yang turut ditawarkan termasuk Phoenix Orange Pearl dengan pilihan tema dua tona (hanya untuk RS dengan tambahan Rp 2.500.000), Crystal Black Pearl, serta dua warna khas hanya untuk Brio Satya iaitu Rallye Red dan Taffeta White.

Brio merupakan ‘Mobil Sejuta Umat’ bagi Honda untuk pasaran Indonesia buat masa sekarang. Ia mencatatkan rekod sebagai model paling laris di negara berkenaan untuk tahun 2020, 2022 dan juga suku pertama 2023. Secara keseluruhan, lebih 500,000 unit Brio telah terjual di Indonesia sejak model generasi pertama diperkenalkan pada 2012.

Hatchback segmen-A Honda yang diproduksi di Indonesia ini juga telah dieksport keluar sebanyak lebih dari 25,000 unit sejak 2019 ke pelbagai pasaran lain. Walau bagaimanapun, Brio tidak pernah dilihat berpotensi untuk di bawa masuk ke sini oleh Honda Malaysia.

Namun melihat kepada kelengkapan yang diberikan serta harga yang ditawarkan, adakah anda rasa Brio mampu menggugat ‘Raja’ hatchback segmen-A di Malaysia iaitu Perodua Axia sekiranya ia dibawa ke sini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required