Litar lumba drag dengan peruntukan RM20 juta tidak pernah dibahaskan dan diluluskan di Parlimen – KBS

Litar lumba drag dengan peruntukan RM20 juta tidak pernah dibahaskan dan diluluskan di Parlimen – KBS

Susulan luahan bekas Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaacob yang kecewa selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak meneruskan rancangan untuk membangunkan litar perlumbaan drag di setiap negeri, KBS memaklumkan bahawa peruntukan RM20 juta yang diumumkan oleh beliau menerusi Bajet 2023 tidak pernah dibahaskan di Parlimen dan tidak mendapat kelulusan.

“Ini kerana Ismail Sabri telah membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan belanjawan beliau. Oleh yang demikian, bajet tersebut tidak pernah disalurkan kepada KBS bagi pembangunan litar drag seperti yang diumumkan.

“Selain daripada itu, bajet tersebut diumumkan tanpa mendapat data dan maklum balas daripada pihak KBS. RM 20 juta tidak cukup untuk pembinaan litar di setiap negeri,”kata KBS menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

Litar lumba drag dengan peruntukan RM20 juta tidak pernah dibahaskan dan diluluskan di Parlimen – KBS

KBS turut berkata, pihak kementerian amat prihatin terhadap faktor keselamatan anak muda dan tidak berhasrat untuk membina litar berdasarkan konsep sekadar ada. Tidak dinafikan sukan permotoran di litar drag merupakan perlumbaan di platform yang baik dan bermanfaat untuk anak muda. Namun begitu, keselamatan pelumba, penonton dan semua yang terlibat perlu diberi keutamaan.

“KBS sentiasa proaktif dan mencari kaedah-kaedah lain bagi memastikan sukan permotoran ini dapat terus dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal dan selamat walaupun kekangan kewangan ketika ini menghalang usaha pembinaan baharu litar-litar permotoran khasnya litar drag.

“Antara usaha yang dilakukan adalah melalui projek menaiktaraf serta memperbaiki kemudahan sedia ada di bawah KBS seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mencapai spesifikasi antarabangsa serta Litar Lumba Tangkak di Johor bagi penggiat sukan permotoran tempatan,” katanya lagi.

Tambahnya, pihak kementerian turut bekerjasama dengan Persatuan Bermotor Malaysia (MAM) selaku badan induk Sukan Permotoran dalam memastikan operator serta penganjur sukan permotoran ini dapat melaksanakan program atau aktiviti mereka di litar yang selamat dengan membuat penyenaraian litar-litar kekal yang telah disahkan (homologate) serta menyediakan spesifikasi minimum bagi litar sementara.

“KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan MAM juga sedang giat membangunkan Garis Panduan Sukan Bermotor yang mana akan memberikan panduan mengenai sukan bermotor terutamanya melibatkan penganjuran acara termasuklah perlumbaan drag. Usaha yang digerakkan ini dapat mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif seterusnya mengurangkan risiko perlumbaan.

Program MalaysiaActive@Motorsports yang akan diadakan di seluruh negara melibatkan pengisian aktiviti seperti perlumbaan, bengkel sukan permotoran, Kelas Latihan Asas Sukan (KLASS) Permotoran, Kursus Akreditasi dan Pentauliahan serta melalui program RAKAN MUDA yang akan diberi nafas baru tidak lama lagi. Segala usaha ini diharap dapat merancakkan lagi pemerkasaan pembangunan sukan bermotor di Malaysia dan memberi manfaat kepada belia-belia di Malaysia,” jelasnya.

Walau bagaimana pun, jangan dilupakan insiden CCT Battle of Champion yang membabitkan kemalangan maut di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Perak pada 1 Januari lalu dan juga Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Drag Antarabangsa Gong Badak, Terenggan pada Oktober lalu. Di mana kedua-dua kejadian melibatkan kemalangan jiwa yang membabitkan pelumba dan penonton acara lumba drag berkenaan.

Dalam insiden CCT Battle of Champion, seorang pengusaha bengkel kenderaan maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan berkenaan. Mangsa, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dari Taiping, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.

Manakala dalam penganjuran Battle of The Kings (BOTK) 2022, salah seorang pelumba yang mengambil bahagian, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin atau dikenali sebagai Apeh Jamal maut akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pokok di tepi litar.

Di mana kedua-dua kejadian berkaitan dengan ciri keselamatan termasuk aspek tayar penghadang di litar yang tidak mencukupi selain ada pelumbahaan yang membabitkan penganjur tak patuh SOP pohon permit serta tiada kelulusan MAM. Maka, inilah salah satu tugas berat dan cabaran yang digalas oleh kementerian bertanggungjawab termasuk pihak yang diamanahkan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang di masa akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required