Mitsubishi Triton 2023 – teaser rasmi di siar, muncul di Thailand pada 26 Julai ini dengan rekaan ‘Beast Mode’

Mitsubishi Triton 2023 – <em>teaser</em> rasmi di siar, muncul di Thailand pada 26 Julai ini dengan rekaan ‘Beast Mode’

Mitsubishi secara rasmi mengumumkan bahawa model generasi baharu trak pikap Triton bakal membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada 26 Julai 2023 nanti. Serentak dengan pengumuman ini, jenama tiga berlian berkenaan turut menyiarkan gambar dan video teaser untuk trak pikap berkenaan.

Seperti diumumkan sebelum ini, Triton generasi ke-enam ini akan tampil sebagai model produksi bagi model XRT Concept yang didedahkan pada Mac lalu. Model konsep tersebut sebenarnya dilihat hampir seperti model produksi sebenar, dan menerusi teaser baharu ini lebih banyak perincian telah didedahkan sebelum kemunculan rasminya sekitar sebulan lagi dari sekarang.

Menurut pengurus besar untuk rekaan Mitsubishi Motors, Seiji Watanabe, Triton generasi baharu ini diimaginasikan semula dengan konsep rekaan ‘Beast Mode’, atau gagah dan berani.

“Dalam menunjukkan sifat lasak dan berkuasa yang diharapkan dari sebuah trak pikap, Triton serba baharu menggabungkan ketangkasan dan rekaan Mitsubishi yang gagah bagi menjelmakan rupa yang mengkagumkan. Lasak dan boleh diharap, Triton serba baharu ini akan membuatkan pelanggan mahu mengembara ke mana sahaja,” katanya.

Dalam teaser yang disiarkan, dapat dilihat Triton baharu ini sememangnya menerima rekaan yang sangat agresif. Pada bahagian muka, ia diberikan gril dengan elemen melintang yang nampak lasak, bersama tulisan ‘Mitsubishi’ diletakkan di atas logo hadapan. Bonet hadapan juga kelihatan menampilkan ‘otot-otot’ yang lebih gagah dari sebelum ini.

Seperti Triton sebelum ini, model generasi baharu ini turut menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada sebelah atas yang disifatkan sebagai “pandangan tajam seekor helang”. Manakala untuk lampu utama, ia nampaknya turut diberikan lampu LED dengan tiga ‘kiub’ yang disusun dalam kluster dengan kemasan krom seperti huruf-T.

Elemen-T yang sama turut boleh dilihat pada grafik LED lampu belakang, yang menampilkan kluster dengan saiz agak besar, sesuai dengan saiz badannya yang nampak lebih besar dan lebih lebar dari Triton sedia ada.

Beberapa perincian dalaman juga kelihatan dalam teaser baharu ini. Antaranya rekaan papan pemuka yang bersegi melambangkan struktur yang lasak, skrin bersaiz besar diletakkan di atas liang pendingin hawa tengah manakala panel kawalan digital terletak di bawahnya.

Perincian lain dalam kabin yang didedahkan termasuk suis pilihan mod 4WD (2H, 4H, 4HLc dan 4LLc) jenis putar, brek tangan yang masih menggunakan tuil konvensional, dan juga butang-butang pilihan untuk mod pemanduan serta kawalan menurun bukit. Bayangan yang diberikan juga menunjukkan Triton mungkin menerima paparan instrumen digital menggunakan skrin.

Mitsubishi masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi teknikal untuk Triton generasi baharu ini. Namun sebelum ini ia telah mengesahkan bahawa Triton 2024 ini akan diasaskan dari platform ladder frame yang sama dengan rakan sekutunya dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi iaitu Nissan Navara.

Tetapi Mitsubishi menegaskan bahawa pembangunan yang dibuat bukanlah semudah proses rebadge, sebaliknya platform baharu ini telah menerima kejuteraan semula dari mereka sendiri dan ia kini adalah baharu sepenuhnya. Mitsubishi juga dijangka tidak akan menggunakan enjin Nissan, tetapi ia mungkin akan dijana oleh enjin 4N16 2.4 liter MIVEC DOHC Turbodiesel baharu bagi menggantik enjin 4N15 sebelum ini.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required