Selepas cucu pengasas Toyota Motor Corporation (TMC), Akio Toyoda melepaskan jawatan presiden dan hanya duduk sebagai pengerusi TMC, pelbagai rombakan jawatan dibuat dalam syarikat tersebut. Jawatan presiden kini dipegang oleh bekas presiden Lexus dan Gazoo Racing (GR) iaitu Koji Sato, manakala jawatan presiden Gazoo Racing yang ditinggalkan Sato kini diisi oleh Tomoya Takahashi yang kini baru berusia 45 tahun.
Seperti biasa, Akio Toyoda tidak akan menyerahkan tugas sebagai presiden sayap perlumbaan syarikat warisannya itu kepada orang ‘biasa-biasa’, dan ia perlu dipikul oleh individu yang benar-benar berminat dengan dunia perlumbaan seperti dirinya. Ini kerana Gazoo Racing ditubuhkan sendiri oleh Akio Toyoda sejak beliau bermula dari bawah.
Menurut Tomoya Takahashi dalam wawancara bersama laman BestCar, ketika menerima surat lantikan sebagai presiden Gazoo Racing, Akio Toyoda sempat berpesan kepadanya, “tolong buat kereta yang akan membuatkan saya tersenyum”. Untuk Takahashi, prinsip beliau dalam menghasilkan kereta lumba atau kereta sport, yang paling utama adalah untuk menghasilkan sebuah kereta yang ringan bagi membolehkan ia mengambil selekoh dengan laju.
“Jika anda mahukan kereta yang laju digaris lurus, anda boleh letak enjin yang besar dalamnya, tapi ia akan menjadikan ia berat. Kereta yang berat dan tak boleh ambil selekoh menjadikan ia tak seronok,” kata Takahashi.
“Kereta yang ringan adalah yang paling bagus, jadi kami akan tekankan kepentingan untuk menghasilkan kereta yang ringan. Walaupun agak sukar untuk menghasilkan kereta yang ringan pada masa sekarang kerana faktor seperti keselamatan ketika pelanggaran dan sebagainya, kami sebagai pembuat kereta percaya menghasilkan kereta yang ringan merupakan jalan terbaik untuk menunjukkan kemahiran kami,” tambahnya.
Oleh itu, Takahashi mengimpikan untuk menghidupkan semula pocket-rocket Toyota yang popular pada era 80’an dan 90’an iaitu Toyota Starlet. Malah Takahashi juga menjelaskan bahawa dia sendiri mula berlumba dengan Starlet GT!
Takahashi berasal dari utara Jepun iaitu di Sapporo, Hokkaido. Beliau mula melibatkan diri dalam kereta dan perlumbaan sejak zaman universiti, bermula dengan memiliki Toyota Starlet GT EP82, kemudian beralih kepada Starlet GT EP82 versi facelift, dan selepas itu ke model generasi terakhir Starlet iaitu Glanza V EP91.
Menurutnya, ketika itu dia suka memandu Starlet berkenaan di jalan yang bersalji dan juga litar-litar kecil di Sapporo. Namun ketika Honda memperkenalkan Civic Type R EK9 pada tahun 1997, dia terkejut betapa bagusnya kereta tersebut.
Takahashi kemudian diterima berkerja di Toyota pada tahun 2002, dan sejak itu beliau berazam untuk menghasilkan sebuah hot-hatch dengan logo Toyota yang lebih baik dari Civic Type R EK9. Impian Takahashi itu dilihat semakin hampir apabila dipindahkan ke Jabatan Pengurusan Kereta Sport Toyota pada 2016.
Beliau dilantik sebagai pengurus besar Jabatan Promosi Projek GR pada 2021, dan kemudian menjadi pengurus besar Jabatan Pembangunan Kenderaan GR sebelum bergelar presiden Toyota Gazoo Racing tahun ini.
Nama Starlet bermula pada tahun 1973 sebagai varian lebih tinggi untuk Toyota Publica, digelar sebagai Publica Starlet (kod casis KP40), dihasilkan dalam versi sedan dan coupe. Namun untuk generasi seterusnya bermula 1978, ia terus digelar sebagai Toyota Starlet (KP60/KP61) dan dihasilkan dalam bentuk hatchback lima- dan tiga-pintu.
Ia bukanlah dihasilkan sebagai sebuah hot-hatch sebenar oleh Toyota ketika itu. Namun dengan badan yang ringan serta datang dalam konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, Starlet dengan enjin 4K 1.3 liter dan 5K 1.5 liter menjadi pilihan ramai untuk diubahsuai sebagai kereta lumba.
Starlet kemudiannya berubah menjadi hatchback pacuan hadapan bermula model generasi ketiga (EP70/EP71), namun Toyota telah menghasilkan hot-hatch sebenar menerusi generasi ini dengan memperkenalkan model Starlet Turbo, dijana enjin 1,295 cc 12-injap dengan pengecas turbo menghasilkan 105 PS/150 Nm.
Ia diteruskan dengan model Starlet GT Turbo EP82 pada generasi kelima dengan enjin 1,331 cc 16-injap 4E-FTE berkuasa 135 PS/157 Nm pada 1990, diikuti model generasi kelima Starlet Glanza V juga dengan enjin 4E-FTE tetapi dengan kuasa meningkat kepada 140 PS.
Produksi Starlet tamat pada 1999, dan selepas itu hatchback kompak Toyota digantikan dengan Vitz/Yaris. Namun pada 2020, nama Starlet telah digunakan semula oleh Toyota – walau bagaimanapun, ia hanyalah model rebadge dari Suzuki Baleno yang hanya dijual di pasaran Afrika Selatan dengan spesifikasi sama seperti Toyota Glanza pasaran India.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.